Hina Jata Negara: Pemuda UMNO gesa KDN ambil tindakan

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera terhadap penulis, penyunting dan penerbit sebuah buku yang didakwa merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan Malaysia.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ itu telah mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang didakwa telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Menurutnya, lukisan mirip Jata Negara itu turut meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

“Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016 telah memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk Jata Negara secara tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Asyraf turut mempersoalkan masih ada pihak yang sanggup membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara secara terbuka dengan penerbitan buku terbabit walaupun kerajaan telah meminda akta berkaitan dengan hukuman 20 kali ganda sejak 2016 yang disifatkan cukup menggerunkan.

“Justeru, Pemuda UMNO dengan ini mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara.

“KDN juga harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan: