Usul pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, timbalannya sah

Usul pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalannya adalah sah mengikut Perlembagaan Persekutuan. (Gambar kecil: Salleh Buang)
Usul pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalannya adalah sah mengikut Perlembagaan Persekutuan. (Gambar kecil: Salleh Buang)
A
A
A

SHAH ALAM - Usul pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya yang dipercayai dikemukakan kerajaan tidak melanggar doktrin pemisahan kuasa, sebaliknya sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Undang-Undang, Profesor Datuk Salleh Buang bahkan berkata, usul pertukaran dua jawatan penting dalam Dewan Rakyat itu dijangka menentukan nasib Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen atau tidak.

Menurutnya, usul tersebut sememangnya boleh dilakukan oleh Muhyiddin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Badan Legislatif) di bawah Perkara 57 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan perkara itu, Yang Dipertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan mengutuskan surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat dan hendaklah mengosongkan jawatan apabila Dewan Rakyat bermesyuarat bagi pertama kali selepas pilihan raya umum, apabila Dewan Rakyat dibubarkan, hilang kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat atau jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan beliau hilang kelayakan.

“Dalam konteks penukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat sedia ada, Muhyiddin selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat boleh mengusulkan beliau mengosongkan jawatan berdasarkan ketetapan Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan iaitu bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan beliau hilang kelayakan,” jelasnya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong menyifatkan usaha kerajaan menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalannya tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Usul Muhyiddin tamatkan lantikan Speaker keputusan berprinsip

Sementara itu, Pakar Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, usul bagi pertukaran Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pula boleh dilakukan Muhyiddin mengikut Perkara 57 (2A) Perlembagaan Persekutuan dengan bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, aturan memilih Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalannya yang baharu perlu mematuhi Perkara 4 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Mengikut perkara itu, jika mana-mana Speaker dan Timbalan Speaker hendak ditukar, perlu ada usul dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan dengan proses pertukaran mesti dibuat melalui penentuan undi di Parlimen.

"Jika hanya seorang ahli atau seorang lain sahaja yang dicadangkan dan disokong jadi Yang di-Pertua, maka Setiausaha hendaklah memasyhurkan ahli atau seorang lain itu telah kena pilih, dengan tidak dikemukakan bagi diputuskan oleh mesyuarat.

"Jika lebih daripada seorang ahli atau seorang lain cadangkan dan disokong jadi Yang di-Pertua, maka Dewan Rakyat hendaklah menjalankan pilihan dengan undi bersurat," katanya.

Khairil Azmin turut menegaskan berdasarkan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, apabila jawatan Yang di-Pertua dikosongkan, maka Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat boleh memilih salah seorang ahlinya untuk menjadi Yang di-Pertua sementara.

Di sebalik kerumitan proses pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalannya yang bakal dihadapi Muhyiddin kelak, Khairil Azmin percaya ia akan berlangsung dengan suasana positif susulan kedua-dua penyandang jawatan itu merupakan ahli undang-undang dan ahli politik yang berpengalaman.

"Cuma yang pasti, usul pertukaran dua jawatan penting Dewan Rakyat itu secara tersirat bakal menentukan sama ada Muhyiddin benar-benar mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya.

"Saya yakin, sekiranya ujian usul pertukaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan timbalannya berjaya memihak kepada Muhyiddin, beliau akan lebih berkeyakinan berdepan usul undi percaya kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri yang dikemukakan Pas.

"Inisiatif itu bukan sahaja akan menghentikan tohmahan kerajaan Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin tidak stabil dan dipertikaikan keabsahannya, bahkan memastikan beliau akan mentadbir kerajaan tanpa perlu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat," katanya.