Karyawan Perak mahu DBP diberi kuasa

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

IPOH - Persatuan Karyawan Perak menyambut baik usaha dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakan Akta DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusinya, Zabidin Ismail berkata, ini kerana, kedudukan bahasa kebangsaan itu dilihat semakin terancam dengan penggunaan bahasa asing secara meluas termasuklah di jabatan-jabatan kerajaan.

Sehubungan itu katanya, sudah tiba masanya DBP diberi kuasa untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan penggunaan bahasa tersebut.

"DBP tidak boleh selama-lamanya menjadi penasihat bahasa dan hanya boleh menegur mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

"Saya sebenarnya tidak boleh terima rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu dan menggunakan bahasa asing kerana dalam Perlembagaan Persekutuan telah termaktub bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang menegaskan pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara terus berdepan cabaran hebat sekiranya usaha penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan tidak dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Beri DBP kuasa bertindak

Katanya, pembudayaan bahasa kebangsaan dengan hanya secara pendekatan 'dakwah' melalui gerakan 'menegur dan menasihati' seperti diperuntukkan dalam Akta DBP 1959 ketika ini, perlu diubah agar DBP punyai 'punca kuasa' mengambil tindakan terhadap pihak tidak menghormati bahasa kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Awang turut menegaskan Perlembagaan Persekutuan membuka ruang besar untuk penggunaan dan pembelajaran bahasa lain tetapi dalam segala urusan, bahasa Melayu wajib digunakan kerana ia adalah bahasa utama yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Dalam pada itu, Zabidin berkata, usaha yang dicetuskan Awang harus disokong oleh semua pihak bagi memastikan bahasa Melayu terus diangkat pada tahap lebih tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada keperluan pinda akta DBP, kata Zuraida