Skandal TH: Pendeposit tak perlu bimbang

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

"JANGAN berharap sangat... Lembaga Tabung Haji (TH) baru baik dari demam." Itu kenyataan diberikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat dalam sidang media, baru-baru ini.

Kenyataan berkenaan mungkin memberi kelegaan buat pendeposit TH lebih-lebih lagi dalam soal pemberian hibah, namun adakah mampu menyelesaikan kemelut serta serangan lebih enam tahun skandal kewangan TH?

Tiga tahun sebelum tibanya hari di mana rakyat Malaysia menentukan siapakah gabungan parti politik yang bakal diamanahkan sebagai kerajaan dalam PRU14, tersebar bukti pembelian sebidang tanah Tun Razak Exchange (TRE) oleh TH.

Isu itu meledak serta tersebar begitu pantas dalam kalangan rakyat apabila dikaitkan dengan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan Malaysia yang ketika itu diterajui oleh BN.

TH dikatakan telah membeli sebidang tanah TRE seluas satu setengah ekar milik 1MDB pada harga RM188.5 juta yang disifatkan harga luar biasa.

Harga berkenaan difahamkan adalah 43 kali ganda lebih mahal daripada 1MDB membeli tanah yang sama daripada kerajaan .

Dalam pendedahan berkenaan turut mendakwa bayaran luar biasa adalah bagi melunaskan hutang 1MDB.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji: Apa yang perlu anda tahu]

Artikel Berkaitan:

Walaupun sudah bertukar kerajaan, isu skandal kewangan TH masih belum lagi reda dan masih panas.

Bahkan, isu penjualan saham TH pada tahun 2012 yang dikatakan disembunyikan maklumatnya dari pengetahuan umum turut terbongkar.

Pada 30 November lalu, TH telah membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 di mana dana berjumlah lebih RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik. TH menyumbang RM7 juta kepada program tersebut.

Laporan kedua terhadap Ismee, Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff adalah berkaitan dakwaan salah nyata dan menyekat maklumat material melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta bersamaan RM3.7 bilion.

Pendedahan penyalahgunaan dana TH berkenaan telah menzahirkan rasa kurang senang pelbagai pihak termasuklah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, siasatan segera perlu dilaksanakan atas kepentingan awam dan mengelakkan rakyat terus berpolemik mengenai reputasi TH.

"Pemuda Umno menegaskan integriti dan moral tidak boleh sesekali dikompromikan apatah lagi melibatkan institusi agama yang diharapkan rakyat mengamalkan prinsip tadbir urus pada tahap yang lebih tinggi," katanya.

Bahkan, Abdul Azeez selaku bekas Pengerusi Lembaga TH yang dipersoalkan integritinya dalam menguruskan instusi kewangan berkenaan juga tampil mengadakan sidang media tiga hari selepas laporan polis dibuat TH.

Azeez berkata, jumlah RM22 juta berkenaan adalah bagi Program Ziarah Kasih, Jom Bantu Rakyat dan Ziarah Kasih Ramadan selama setahun bagi membantu golongan memerlukan menggunakan hasil pelaburan perniagaan TH yang berjumlah RM7 juta dan selebihnya sumbangan dari Umno, Kerajaan Persekutuan serta syarikat-syarikat yang tidak mempunyai peniagaan dengan TH.

"Saya terkejut apabila prosedur operasi standard (SOP) tidak diguna pakai. Lebih baik memanggil saya untuk memberi keterangan terlebih dahulu, duit ini datang dari mana dan bagaimana ia diagihkan.

Pendedahan berkenaan mungkin baru buat rakyat, namun tidak bagi Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli yang menegaskan dia telah mendedahkan penyelewengan dan salah laku dalam TH sejak tahun 2013.

Rafizi pada tahun 2015 pernah memerli individu berkaitan TH dalam sidang parlimen.

"Jangan cuba sekali-kali untuk ambil wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ataupun Tabung Haji atau Permodalan Nasional Berhad (PNB)," katanya.

Kenyataan itu membuatkan Abdul Azeez yang ketika itu Ahli Parlimen Baling (BN) segera bangun dan menegaskan hal TH biarlah dia jawab.

"Ini fitnah, fitnah, fitnah," tegas Abdul Azeez.

Dalam satu sidang media khas Abdul Azeez pada 9 Mei 2015, beliau menegaskan pendeposit tidak perlu bimbang memandangkan wang yang mereka simpan di TH masih ada dan tidak digunakan untuk pembelian TRE.

"Setiap duit yang mak cik letak seringgit... yang pak cik letak seringgit dalam TH dijamin penuh oleh kerajaan Malaysia. Duit mak cik tak boleh dicuri, tak boleh diambil sewenang-wenangnya.

Itu nada kerajaan BN pada masa berkenaan dan dilihat serupa dengan nada kerajaan PH pada masa kini.

Mujahid
Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf memberi jaminan penerima dividen TH tidak perlu memulangkan dividen berkenaan walaupun terdapat penyelewengan dalam urus tadbir lembaga tersebut sebelum ini.

Jaminan berkenaan diberikan susulan pendedahan penyata kewangan tahun 2017 TH dipalsukan untuk membolehkan TH membuat bayaran dividen sebanyak 6.25 peratus pada bulan Februari 2018.

"Itu bukan masalah penerima (hibah), tetapi masalah pengurusan. Jadi apa yang kita buat ialah membaiki pengurusan itu supaya mengikut cara yang betul," katanya.

Mujahid turut menegaskan TH merekodkan defisit sebanyak RM4.1 bilion berakhir 31 Disember tahun lalu di mana menunjukkan pembayaran hibah sejak 2014 melanggar Akta TH 1995.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula melahirkan kehairanan bagaimana PH mampu menyelesaikan masalah defisit besar berkenaan dalam tempoh masa yang singkat.

"Kerajaan PH suntik RM4.1 billion ke dalam TH? Naikkan semula nilai aset TH yang telah turunkan nilai untuk audit tahun 2017? Atau aset TH sudah dijual?

"Curiga betul saya. Hairan sangat saya. Harap menteri boleh jawab," katanya.