Polis ambil keterangan Azwanddin dan Ragvinder

Azwanddin dan Ragvinder
Azwanddin dan Ragvinder
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengambil keterangan Presiden Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah dan Pengerusi Gabungan 3 Ragvinder Singh berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan perkauman di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata kedua-dua mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dekat sini kira-kira 11 pagi.

“Setakat ini pihak polis hanya mengambil keterangan kedua-dua mereka untuk siasatan lanjut...tiada penahanan dilakukan hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditemui pemberita sebelum memberi keterangan, Azwanddin berkata beliau sebelum ini telah dipanggil untuk memberi keterangan pada 23 November lepas namun meminta untuk proses itu ditangguhkan.

“Saya minta proses itu ditangguhkan kerana ada urusan yang perlu dilakukan dan hari ini saya hadir untuk beri kerjasama dengan pihak polis berhubung siasatan yang mereka ingin lakukan,” katanya.

Lebih 30 penyokong Azwanddin dan Ragvinder hadir di IPD Ampang Jaya bagi memberi sokongan kepada mereka.

Jumaat lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata Azwanddin dan Ragvinder antara sembilan individu yang akan dipanggil pihak polis berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan perkauman di laman sosial.

Tujuh lagi ialah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy; Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong; Adun Tras Chow Yu Hui; Timbalan Pengerusi Gabungan 3 Amran Ahmad Nor serta blogger Lau Shan Thean dan Muhamad Edi Mohamad Riyas atau Edi Rejang.

Lebih 160 laporan polis telah diterima dari seluruh negara dengan beberapa kertas siasatan menurut Seksyen 504, 505 dan 506 Kanun Keseksaan telah dibuka, kata Noor Rashid. –Bernama

Artikel Berkaitan: