DBP berterima kasih atas janji Zuraida

Profesor Datuk Dr Awang Sariyan
Profesor Datuk Dr Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berterima kasih atas iltizam dan janji Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan termasuk aspek mutu bahasa di tempat awam.

Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berkata, seingat beliau, Zuraida ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang pertama membuat kenyataan dan janji yang jelas tentang isu bahasa kebangsaan di tempat awam.

Menurutnya, DBP menunggu untuk melihat perkembangan positif daripada kenyataan dan janji tersebut.

"Sementara itu, khidmat pengesahan bahasa pada iklan dan paparan lain di tempat awam yang dilaksanakan oleh DBP selama ini akan ditingkatkan dan diperluas. Selain khidmat kaunter di Menara DBP, khidmat itu diberikan dalam talian.

"Masalah selama ini ialah kebanyakan PBT tidak tegas dalam mewajibkan pengiklan dan pemapar maklumat di tempat awam agar mendapat pengesahan bahasa daripada DBP sebelum mendapat permit pemaparan daripada PBT," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Tiada keperluan pinda akta DBP, kata Zuraida

Semalam Sinar Harian melaporkan Zuraida berkata, beliau akan memberi peringatan kepada PBT untuk menguatkuasakan akta lebih tegas agar sebarang kesilapan dan penyalahgunaan bahasa sama ada di papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar dapat ditangani sebaiknya.

Bagaimanapun Zuraida berkata, tiada keperluan untuk kerajaan meminda Akta DBP 1859 bagi memberi sedikit kuasa kepada badan berkanun itu mengambil tindakan termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN - Beri DBP kuasa bertindak

Isnin lalu Awang menyarankan agar Akta DBP dipinda bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak tidak menghormati penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Mengulas lanjut, Awang berkata, isu berleluasa bahasa asing dan bahasa yang salah di tempat awam bukan rahsia lagi dan sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

"DBP tidak boleh membiarkan isu ini menjadi penghambat maruah dan kemajuan bahasa negara. Tempoh 63 tahun negara merdeka bukan tempoh yang singkat untuk membiarkan bahasa negara diremehkan.

Artikel Berkaitan:

"DBP sering dipersalahkan oleh pelbagai pihak kerana dikatakan tidak bertindak tegas walhal DBP tidak diberi mandat bertindak secara undang-undang selain hanya 'berdakwah bahasa' melalui peruntukan 'menggalakkan, menasihati dan menegur' seperti dalam Akta DBP," katanya.

Sementara itu menurutnya, isu lain yang perlu ditangani oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ialah kedudukan PBT di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang menyebabkan arahan kementerian tidak dipatuhi oleh kebanyakan PBT.

Justeru itu, beliau menegaskan kementerian perlu membuat penyelarasan dengan kerajaan negeri agar tidak berlaku pertindihan wibawa yang menghambat penguatkuasaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Tentang cadangan pindaan Akta DBP katanya, ada beberapa perkara lain selain soal bahasa di tempat awam.

"Penggunaan bahasa kebangsaan mencakupi pelbagai sektor lain seperti pentadbiran, pendidikan, media am dan undang-undang. Cadangan pindaan juga berkaitan dengan usaha memperkemas gerakan DBP seperti pengantarabangsaan, fungsi komersial dan yang lain," katanya.