Sahkan hadir ke PAU 2023, Zahid berterima kasih pada Abang Jo

Ahmad Zahid (kanan) dan Abang Johari (tengah) bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika hadir rumah terbuka Gawai Dayak di kediaman Timbalan Premier Sarawak pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (kanan) dan Abang Johari (tengah) bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika hadir rumah terbuka Gawai Dayak di kediaman Timbalan Premier Sarawak pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KAPIT - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerana telah mengesahkan kehadiran beliau ke Perhimpunan Agung Umno 2023 pada 7 hingga 10 Jun ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengesahan itu dibuat Abang Johari yang juga Premier Sarawak, semasa beliau berkunjung ke kediamannya di Kuching pada pagi hari ini.

Beliau berkata, pengesahan kehadiran itu merupakan satu manifestasi bermakna kepadanya, kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan juga akan hadir ke perhimpunan itu, selain Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Ahmad Zahid juga berharap supaya Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, akan hadir ke perhimpunan itu kelak.

"19 presiden parti anggota kerajaan perpaduan akan hadir dan ini satu petanda baik dan penghargaan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

"Kita berusaha untuk memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan ini, agar kerjasama yang dijalinkan akan lebih berstruktur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Richard Engking, Sungai Amang di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama kukuh anggota Kerajaan Perpaduan itu penting bagi kestabilan politik lebih-lebih lagi dalam menghadapi enam pilihan raya negeri yang akan diumumkan pada bila-bila masa.

"Kita mengharapkan kemenangan akan memihak kepada komponen parti Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, bekas ahli UMNO dan ahli yang bukan perwakilan juga boleh hadir untuk mengubat kerinduan mereka terhadap suasana perhimpunan tersebut.

"Mereka boleh datang sebagai pemerhati. Kita harapkan perhimpunan ini menjadi satu titik permulaan bagi kita menyelesaikan isu selama ini,” katanya. - Bernama