Kemas kini telefon untuk terima sistem amaran kecemasan negara - MCMC

CYBERJAYA - Orang ramai disaran mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka dapat menerima amaran kecemasan negara menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, langkah itu penting bagi memastikan telefon pengguna memenuhi keperluan teknikal untuk menyokong penerimaan amaran berkenaan.
"EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang dikenal pasti.
"Sistem berkenaan tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, keperluan minimum peranti bagi menyokong EWS adalah iPhone 11 dan model lebih baharu menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini, telefon Android 12 dan ke atas serta peranti Huawei dengan EMUI 16 atau versi terkini tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.
MCMC turut menyarankan pengguna memasang kemas kini perisian terkini tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini serta memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan.
Dalam perkembangan sama, suruhanjaya telah mengadakan sesi taklimat khas bersama Ketua-Ketua Pengarang media bagi memperkenalkan EWS, menjelaskan mekanisme penyampaian amaran dan memperkukuh kerjasama media dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat.
Sesi berkenaan turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman di bangunan MCMC Cyberjaya.
MCMC menjelaskan, ujian pada 19 November itu bertujuan menilai dan menambah baik sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan lebih meluas, manakala ujian pada skala lebih besar akan dijalankan secara berfasa.
Pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

