Jangan salahkan BN: Najib

Najib
A
A

KADAR hibah rendah yang dijangka diumumkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bukan kerana penyelewengan didakwa berlaku ketika zaman pemerintahan BN.

Sebaliknya, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kadar rendah itu berpunca daripada penurunan besar pelaburan institusi kewangan Islam itu dalam pasaran ekuiti selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14.

"Pada tempoh pengumuman hibah ini, kerajaan Pakatan Harapan tentu membuat pelbagai cerita untuk menyalahkan kerajaan BN dahulu sebagai alasan kadar hibah rendah.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘InsyaALLAH TH pulih tahun ini’]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji: Apa yang perlu anda tahu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Skandal TH: Pendeposit tak perlu bimbang]

"Bagaimanapun, sebab utama sebenar ialah penurunan besar dalam pelaburan TH di dalam pasaran ekuiti selepas PRU14. Kita boleh lihat kejatuhan ketara pelaburan ekuiti TH ini di dalam lampiran dari media Bloomberg yang menunjukkan nilai pelaburan TH pada permulaan tahun 2018 sebelum PRU14 berbanding nilai pada awal bulan Disember.

"Ini sebab utama mengapa hibah rendah untuk tahun 2018. Bukan kerana defisit atau apa-apa penyelewengan," katanya di Facebook rasmi miliknya selepas TH mengumumkan pemberian hibah bagi 2018.

Baru-baru ini, badan yang ditubuhkan untuk membolehkan umat Islam di negara ini menunaikan haji itu memberi jaminan akan membuat bayaran hibah kepada 9.2 juta pendeposit namun dijangka pada kadar rendah.

Jaminan itu dibuat selepas TH berjaya melaksanakan pelan pemulihan dan menstabilkan kedudukan kewangan menerusi pemindahan aset kepada syarikat tujuan khas (SPV) pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, Najib turut mempersoalkan kerajaan yang masih tidak dapat memberi jawapan mengapa TH mengalami defisit RM4.1 bilion apabila aset bernilai RM19.9 bilion ini di bawah nama TH tetapi tidak mengalami sebarang defisit bila aset yang sama ialah di bawah nama SPV.

Najib juga mengganggarkan kadar hibah TH untuk tahun-tahun mendatang akan di bawah 3.5% setiap tahun mengambil kira kaedah pelaburan baru, kos operasi TH dan kos untuk subsidi haji setiap tahun.