Maahad tahfiz diminta berdaftar: Zulkifli

Zulkifli (dua dari kanan) beramah mesra dengan Siti Zauyah Din, 56, (empat dari kiri) di Teluk Air Tawar hari ini.
Zulkifli (dua dari kanan) beramah mesra dengan Siti Zauyah Din, 56, (empat dari kiri) di Teluk Air Tawar hari ini.
A
A
A

BUTTERWORTH - Semua institusi tahfiz di negara ini diminta segera berdaftar dengan jabatan atau majlis agama Islam negeri masing-masing bagi membolehkan kesemua institusi itu beroperasi semula dalam satu kebersamaan pada masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pendaftaran itu juga penting bagi memudahkan penyaluran peruntukan daripada kerajaan.

"Saya mengesyorkan mereka untuk berdaftar kerana dalam keadaan kita berhadapan dengan wabak Covid-19, kita tidak boleh guna cara lama lagi dan kita harus susun norma baharu dengan baik demi keselamatan semua," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Pembangunan Hartanah Wakaf di Pulau Pinang sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pendaftaran juga memudahkan institusi terbabit mematuhi satu piawaian standard, terutama dalam memerangi wabak Covid-19.

"Sebab itu saya syorkan dan cubalah penuhi SOP supaya sama-sama kita bergerak berganding bahu dalam keadaan yang lebih tepat serta mengikut apa yang dihasratkan ketika kita cuba menamatkan rantaian Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah tahfiz dibenar operasi semula

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz beroperasi semula.

Sementara itu, Zulkifli berkata, keputusan mengenai cadangan mengadakan solat Jumaat dua sesi dijangka diumumkan minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau turut melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.- Bernama