X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga ahli Bank Rakyat mohon semakan kehakiman

Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A

KUALA LUMPUR – Tiga ahli dan pemegang saham Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) memfailkan permohonan bagi memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bagi menghalang campur tangan kerajaan dalam pengurusan bank berkenaan.

Tiga ahli berkenaan iaitu Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Datuk Mustafha Abd Razak dan Datuk Rahim Yunus bertindak selaku pemohon menamakan Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Kewangan Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai Responden.

Menerusi kenyataan akhbar hari ini, peguam, Haniff Khatri berkata, permohonan itu juga dibuat bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Akta Bank Rakyat (Peruntukan Khas) 1978 [Akta 202] merupakan undang-undang yang dimaksudkan untuk berkuatkuasa bagi sementara waktu.

Katanya, pemohon membuat permohonan itu sebagai ahli Jawatankuasa Sementara Permohonan Memansuhkan Akta Bank Rakyat bagi pihak kesemua ahli Bank Rakyat yang didakwa mencapai 900,000 ahli.

“Pemfailan permohonan ini susulan keputusan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada ketika itu iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang menolak permohonan ahli Bank Rakyat untuk memansuhkan Akta 202.

“Ia juga keputusan Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang menolak permohonan ahli Bank Rakyat untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas bagi membentangkan usul untuk menamatkan perjalanan kuatkuasa Akta 202,” katanya.

Haniff berkata, pemohon membuat empat permohonan iaitu pengisytiharan bahawa Akta 202 merupakan undang-undang yang dimaksudkan untuk berkuatkuasa bagi sementara waktu.

Justeru, Seksyen 31 Akta 202 memperuntukkan kuasa bagi menteri mengisytiharkan melalui Warta bahawa Akta 202 adalah terhenti berkuatkuasa.

Menurutnya, perintah certiorari untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Lembaga Pengarah Bank Rakyat pada 12 April 2019, 23 Ogos 2019 dan 4 Mei lalu.

Katanya, ia turut termasuk perintah mandamus mengarahkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk melaksanakan kuasa dan budi bicaranya di bawah Seksyen 31 Akta 202 untuk menamatkan kuatkuasa Akta 202 melalui langkah-langkah yang dinyatakan.

“Pemohon mengarahkan kami selaku peguamcaranya untuk menegaskan bahawa tindakan tidak munasabah Lembaga Pengarah Bank Rakyat dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam keputusannya menafikan keadilan asasi kepada pemohon dan ahli- ahli Bank Rakyat yang lain.

“Sedangkan pertimbangan semasa Rang Undang-Undang Bank Rakyat dibentangkan telah dicapai atau dipenuhi,” katanya.

Ini kerana beliau berkata, dalam membentangkan Rang Undang-Undang tersebut, Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussien Onn menyatakannya secara jelas kewujudan Akta 202 hanyalah sebagai langkah sementara.

Ia katanya bagi menyelamatkan Bank Rakyat daripada salah pengurusan dan insolvensi dan sejurus masalah tersebut diperbaiki, pentadbiran dan pengurusan Bank Rakyat akan dikembalikan kepada Bank Rakyat untuk mentadbir dan menguruskan hal ehwalnya sendiri.

Haniff berkata, pinjaman yang diberikan oleh kerajaan kepada Bank Rakyat telah dibayar sepenuhnya hampir 20 tahun yang lalu dan kini Bank Rakyat sudah pun utuh di tahap pengurusannya.

Oleh itu, beliau berkata, pemohon percaya tiba masanya pengurusan Bank Rakyat dikembalikan kepada ahli-ahli Bank Rakyat sendiri untuk diuruskan tanpa campur tangan pihak Kerajaan sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada masa itu ketika membentangkan Rang Undang-Undang Akta 202.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus