720 bubu naga dirampas sehingga Jun

Noraisyah (tengah) menunjukkan saiz bubu naga yang digunakan nelayan untuk dipasang di perairan negeri ini.
Noraisyah (tengah) menunjukkan saiz bubu naga yang digunakan nelayan untuk dipasang di perairan negeri ini.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Jabatan Perikanan Pulau Pinang merampas sebanyak 720 buah bubu naga bernilai RM72,000 di negeri ini sejak Januari lalu sehingga petang semalam.

Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata berkata, mengikut statistik, sebanyak 370 bubu naga dirampas dari Januari hingga Mei lalu manakala 350 buah pada bulan ini.

Menurutnya, kesemua bubu naga yang dirampas melibatkan 22 kes iaitu 11 kes bagi sepanjang Januari hingga Mei dan bakinya pada Jun.

"Pada bulan ini (Jun) sahaja, kita berjaya merampas 350 buah bubu naga melibatkan lima operasi. Operasi pertama yang diadakan di Teluk Kumbar berjaya merampas 77 unit; operasi kedua di Batu Kawan (89 unit); operasi ketiga di Batu Kawan, Juru dan Teluk Kumbar (85 unit), operasi keempat di Batu Kawan, Sungai Belanak dan Bukit Tengah (86 unit) dan 13 unit dalam operasi kelima di Kuala Sungai Changkat.

"Sejak 2017 sehingga Jun tahun ini, kita berjaya merampas 3,046 buah bubu naga iaitu 336 unit pada 2017; 1,149 unit pada 2018, 841 unit pada 2019 dan 720 unit sehingga Jun tahun ini. Kesemua yang dirampas melibatkan 215 kes," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Teluk Kumbar di sini tadi.

Mengulas mengenai tangkapan terbaharu semalam, Noraisyah berkata, pihaknya menahan seorang nelayan ketika sedang mengambil semula bubu naga yang dipasang pada jarak 0.3 batu nautika dari Kuala Sungai Changkat, Seberang Perai Selatan (SPS).

Beliau berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan bersama 13 unit bubu naga selepas pihaknya menahan sebuah vesel (sampan) pada 6.30 petang semalam.

Tambahnya, lelaki itu merupakan nelayan berlesen di zon A iaitu penggunaan pukat hanyut dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, kita hanya dapat merampas bubu naga sahaja, tetapi semalam, kita berjaya menahan seorang nelayan yang sedang mengambil semula bubu naga yang telah dipasang. Penggunaan bubu naga merupakan satu kesalahan besar kerana ia memberi kesan negatif kepada sumber perikanan kerana benih dan anak ikan bersaiz kecil akan masuk ke dalam bubu tersebut.

"Kadang-kadang induk ikan juga akan masuk yang mana ia akan mengakibatkan kelestarian sumber perikanan terjejas.Penggunaan bubu naga dilarang oleh Jabatan Perikanan Malaysia kerana ia mempunyai lebih daripada dua injap. Selain itu, ia akan menimbulkan isu sosial dalam kalangan nelayan tradisi yang mengusahakan pukat hanyut," katanya.

Beliau berkata, bubu naga tersebut dipercayai diimport dari China dan Thailand.

"Bubu naga ini boleh mencapai sehingga 20 meter panjang dan ia akan menyebabkan pukat hanyut nelayan tradisi rosak jika tersangkut. Selalunya mereka akan memasang bubu naga ini ketika air mula pasang dan akan mengangkatnya semula ketika air surut.

"Mereka yang ditahan kerana kesalahan bubu naga akan didakwa mengikut Seksyen 11(3)(C) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.