MOA lantik 12 ahli MPPN

MPPN bertindak sebagai badan penasihat tertinggi kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang bertanggungjawab dalam mengenal pasti isu-isu berkaitan sekuriti makanan dan sektor pertanian dan industri makanan.
MPPN bertindak sebagai badan penasihat tertinggi kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang bertanggungjawab dalam mengenal pasti isu-isu berkaitan sekuriti makanan dan sektor pertanian dan industri makanan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) melantik 12 ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) terdiri daripada 10 ahli tetap dan dua ahli bersama bagi sesi 2020-2021.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mereka menerima surat pelantikan daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semasa Mesyuarat Pra-Majlis MPPN di Wisma Tani Putrajaya hari ini.

Menurut kenyataan itu, mereka yang dilantik sebagai ahli tetap ialah Tengku Laksamana Perlis, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Profesor Datin Paduka Fatima Mohamed Arshad, Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Profesor Dr Suhaimi Napis, Profesor Dr Sivamurugan Pandian dan Profesor Dr M Niaz Asadullah.

Sementara itu Dr Yasmin B H Ooi dan Datuk Raghu Loganathan Pillai adalah dua individu yang dilantik sebagai ahli bersama.

"MPPN ini bertindak sebagai badan penasihat tertinggi kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang bertanggungjawab dalam mengenal pasti isu-isu berkaitan sekuriti makanan dan sektor pertanian dan industri makanan, langkah-langkah intervensi yang sesuai serta mencadangkan hala tuju baharu sektor pertanian dan industri makanan mengikut perkembangan dan keperluan semasa secara menyeluruh dan holistik.

"MPPN ini juga akan bertindak sebagai pelengkap kepada strategi-strategi yang didukung oleh kementerian agar lebih efisien dan produktif," jelas kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, bagi meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan MPPN, beberapa pendekatan baharu akan diperkenalkan.

"Antaranya Ronald sendiri akan mempengerusikan majlis ini untuk terlibat secara langsung bersama pakar-pakar dan pemain-pemain dalam sektor pertanian dan industri makanan untuk membawa perubahan dasar yang akan memanfaatkan golongan petani, nelayan dan penternak serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan dapat meningkatkan hasil pendapatan negara secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan MPPN dapat menyumbang dalam memacu sektor pertanian dan industri makanan menerusi idea-idea yang inovatif dan kreatif serta pragmatik bagi mencapai matlamat yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) nanti," kata kenyataan itu lagi.

Pada masa sama, nama MPPN akan dipinda sebagai Majlis Penasihat Pertanian dan Industri Makanan Negara berdasarkan kepada skop baharu kementerian yang turut merangkumi industri makanan.