MFL puji disiplin pemain, pegawai pasukan Liga-M

Selangor antara pasukan saingan Liga-M yang giat menjalani sesi latihan bagi Fasa 1.
Selangor antara pasukan saingan Liga-M yang giat menjalani sesi latihan bagi Fasa 1.
A
A
A

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memuji komitmen dan kerjasama diberikan pemain dan pegawai pasukan saingan Liga Malaysia (Liga-M) terhadap pematuhan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan dalam usaha memastikan proses penyambungan liga dijadualkan berlangsung September depan berjalan lancar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, Fasa 1 yang bermula pada 16 Jun lalu mendapat kerjasama positif dalam kalangan pasukan dan pegawai kelab Liga-M.

"Alhamdulillah, boleh saya katakan semua pemain dan pegawai cukup berdisiplin dalam mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Terdapat juga pemain dan pegawai pasukan yang mengambil inisiatif menambah nilai SOP sedia ada dengan SOP sendiri apatah lagi menyedari ia berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan.

"Begitupun kami akan terus memantau perkembangan terkini setiap pemain dan pegawai pasukan yang telah mula menjalani latihan di padang sepanjang tempoh 15 hari ini dan berharap mengekalkan disiplin pada tahap tinggi.

"Sekiranya sesi latihan yang dijalani pasukan berjalan lancar tanpa kes positif Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 15 hari, kami akan mengusulkan kepada pihak kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk perlaksanaan Fasa 2 pula," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, MFL mengesahkan lapan pasukan Liga Super dan lapan wakil Liga Premier sudah mendapat kelulusan untuk mengadakan sesi latihan bagi Fasa 1.

Menurutnya, pasukan Liga Super yang sudah lulus permohonan adalah UiTM FC, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Perak, Melaka, Felda United FC dan Kedah manakala bakinya melibatkan pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan, Selangor 2, JDT II, TFC II, Pulau Pinang, Kuching FA, Perak II dan Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan terbabit lulus permohonan selepas melengkapkan dokumen iaitu laporan keputusan ujian calitan ‘swab test’, venue latihan berdaftar dan sudah melalui proses nyahkuman atau sanitasi, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan serta melantik pegawai penyelaras," katanya.

Sementara itu, menurut Ab Ghani, permohonan PJ City FC yang telah lulus laporan keputusan ujian calitan, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan dan nama pegawai penyelaras, masih belum selesai disebabkan masih di dalam peringkat pengesahan tempat latihan.

Jelasnya, tiga wakil Liga Super, Pahang, PDRM dan Sabah dan empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC masing-masing masih belum menghantar permohonan untuk sesi latihan Fasa 1.

“Kita difahamkan pasukan-pasukan yang belum memulakan latihan ini sedang dalam proses melengkapkan dokumen yang diperlukan MFL dan saya percaya ia akan selesai dalam sedikit masa lagi.

“Kita berharap supaya semua pasukan bersedia lebih awal jika kita mendapat kelulusan untuk memulakan liga lebih awal iaitu pada Ogos depan. Jika ini dapat dilaksanakan, ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada semua pasukan di mana jadual perlawanan liga dan Piala Malaysia tidak akan padat malah, turut akan membantu persiapan skuad kebangsaan bagi mengharungi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Bagaimanapun, jika saingan Liga Malaysia dapat dipercepatkan pada Ogos berbanding September, saingan Liga Super dan Liga Premier akan tetap mengikut jadual seperti yang ditetapkan sebelum ini serta format Piala Malaysia juga tidak berubah.

“Jadual Liga Malaysia menjadi kurang padat dan pasukan-pasukan memiliki masa rehat yang lebih baik selain daripada persiapan, ia akan menjadi lebih baik kepada pasukan kebangsaan bagi jadual Piala AFF Suzuki dan kelayakan Piala Dunia/Asia selain manfaat kepada wakil negara, JDT bagi jadual Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya.

Sebelum ini, MFL merancang meneruskan saingan Liga Super, Liga Premier pada 1 hingga 2 September depan dan akan berakhir pada 26 hingga 27 September dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober hingga 7 November sementara Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.