Jalan ke depan untuk PDRM

Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin membincangkan tentang penambahbaikan pasukan polis.
Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin membincangkan tentang penambahbaikan pasukan polis.
A
A
A

BEBERAPA bandar raya di seluruh Amerika Syarikat (AS) terus bergolak dengan tunjuk perasaan besar-besaran akibat kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam warga Amerika yang tidak bersenjata. Dia meninggal dunia kerana tindakan polis. Ini juga rentetan daripada pembunuhan warga Afrika Amerika yang lain seperti Breonna Taylor, Ahmaud Arbery dan lain-lain.

Protes itu hanyalah reaksi terbaharu terhadap ketidakadilan perkauman dan sosioekonomi di AS. Selain daripada kekejaman polis, masalah itu diburukkan lagi oleh sikap perkauman dan kegagalan Presiden AS, Donald Trump.

Ramai rakyat Malaysia sedih dan marah dengan peristiwa yang membawa kepada protes George Floyd dan kita berhak untuk marah.

Adalah hipokrit bagi kita untuk mengutuk apa yang sedang berlaku di AS sambil mengabaikan masalah yang ada di negara kita.

Pasukan polis tidak dapat berfungsi dengan berkesan tanpa kepercayaan dan keyakinan masyarakat. Ia adalah kerjasama dua hala.

Mangsa salah laku polis – termasuk insiden N Dharmendran dan Aminulrasyid Amzah – dapat dijumpai dalam kalangan semua kaum.

Segala penyalahgunaan atau kesalahan mesti didedahkan dan diperbetulkan dengan segera untuk meningkatkan kewibawaan sistem perundangan di negara kita.

Di Malaysia, kita beruntung kerana kita sangat berbeza dengan AS. Tetapi apa yang sedang berlaku di AS sekarang adalah peringatan kepada Malaysia tentang apa yang boleh terjadi jika kita terus mengabaikan atau melarikan diri daripada masalah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak mendapat penghormatan dan sokongan daripada semua rakyat.

Mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, jujur, bahkan sanggup mengorbankan nyawa mereka dalam semua krisis yang dihadapi oleh negara kita – termasuklah baru-baru ini dalam isu pandemik Covid-19 dan kerja keras mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua pihak – lebih-lebih lagi pegawai PDRM – ingin menjadikan anggota polis kita lebih profesional dan responsif kepada hak asasi manusia.

Pada tahun 2004, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong telah mempengerusikan Suruhanjaya Diraja untuk meningkatkan operasi dan pengurusan PDRM.

Penemuan suruhanjaya itu yang dikenali sebagai Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin telah diterbitkan setahun kemudian dengan lebih daripada 600 halaman dan 125 cadangan untuk menjadikan PDRM lebih baik.

Objektif strategik laporan tersebut berpendapat bahawa polis Malaysia:

“... perlu terus menegakkan undang-undang, menjaga keamanan dan memerangi jenayah tetapi dalam mencapai matlamat ini, PDRM mesti mematuhi hak asasi manusia, menggunakan kuasa-kuasa mereka dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang. Sebaliknya, PDRM harus melihat dirinya sebagai penjaga hak orang awam. PDRM juga harus menganggap dirinya sebagai badan yang ‘berkhidmat’ dan bukannya yang ‘berkuasa’, walaupun sesetengah ciri separa tenteranya perlu dikekalkan. Akhir sekali, PDRM perlu bersikap lebih telus dan bertanggungjawab terutama kepada badan-badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan dan kepada rakyat.”

Cadangan

Laporan tersebut membincangkan tentang mendemokrasikan pasukan polis untuk melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam masyarakat, sesuai dengan semangat PDRM ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’.

Ini membawa saya ke cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang merupakan salah satu daripada 125 cadangan Laporan Tun Dzaiddin.

Usul itu menjadi titik perdebatan utama yang timbul daripada suruhanjaya dan laporannya. Kira-kira 14 tahun kemudian, RUU untuk menjadikannya realiti akhirnya dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019.

Walaupun bacaan kali kedua ditangguhkan, ia merupakan langkah ke arah yang betul. Semua pihak berkepentingan – termasuk kepimpinan PDRM – telah berpeluang memberikan maklum balas mengenainya.

Sudah tentu mekanisme yang ada seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak mencukupi untuk PDRM. Kekurangan EAIC memang diketahui umum, termasuk hakikat ia tidak mempunyai kemampuan untuk menilai salah laku secara bebas.

Sesiapa pun yang memerintah mesti meneruskan usaha RUU IPCMC ini. Ia merupakan satu lagi urusan Parlimen yang mendesak, malangnya ia diabaikan. Saya dan ahli-ahli Parlimen lain pasti akan membahaskan Rang Undang-Undang itu dengan teliti apabila ia dibawa ke Parlimen.

Meningkatkan kualiti pihak polis di Malaysia tidak hanya berakhir dengan penubuhan IPCMC. Ia cuma salah satu daripada 125 cadangan Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin.

PDRM yang dapat menjaga keselamatan rakyat Malaysia, serta bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan lain akan memerlukan saranan laporan ini dilaksanakan sepenuhnya – termasuk cadangan mengenai pengambilan, latihan, kelengkapan dan peningkatan kesejahteraan anggota.

Seperti yang dinyatakan oleh laporan ini:

“Suruhanjaya berpendapat bahawa sumber manusia perlu ditambah di beberapa jabataan di PDRM seperti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (JSJP)... Suruhanjaya juga mendapati tugas polis pada zaman moden ini semakin kompleks dan canggih yang mana memerlukan pelbagai kecekapan profesional yang bukan sebahagian daripada kecekapan polis yang lazim.”

Selain itu:

“Suruhanjaya menganggap saraan anggota PDRM dan juga peluang kenaikan pangkat agak memuaskan dan setanding dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia. Bagaimanapun, suruhanjaya mencadangkan elaun khas untuk semua anggota dan pegawai PDRM yang ditugaskan di bandar besar di mana kos sara hidup adalah tinggi.”

Suruhanjaya itu turut memberi syor:

“... PDRM perlu melaksanakan program komprehensif dan bersepadu bagi penyelesaian ICT yang berkesan dalam operasi polis. Kaedah dan cara penggunaan IT yang sama diperlukan berkaitan dengan pengurusan aset termasuk pengangkutan bagi memastikan sumber yang ada mencukupi dan digunakan secara berterusan. Ini merupakan faktor penting dalam menentukan keberkesanan dan kecekapan PDRM.”

Yang paling kritikal:

“... salah satu masalah utama yang dihadapi oleh PDRM ialah kekurangan perumahan dan keadaan perumahan dan premis kerja yang daif, walaupun terdapat juga struktur yang moden dan selesa. Keadaan tempat tinggal dan tempat kerja yang tidak sempurna bagi sebahagian besar anggota polis semestinya memberikan kesan yang negatif terhadap moral dan harga diri.

“Begitu juga, keadaan yang daif beberapa balai polis, pejabat pentadbiran dan pusat latihan serta tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi telah membawa pandangan negatif terhadap polis oleh masyarakat. Keadaan ini menyebabkan masyarakat beranggapan bahawa PDRM tidak efisien dan tidak mampu memberi perkhidmatan. Keadaan yang tidak memuaskan ini tidak boleh dibiarkan berterusan.”

Hari ini, 15 tahun selepas Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin dikemukakan, polis Malaysia masih menghadapi masalah ini.

Desakan untuk melaksanakan cadangan Tun Dzaiddin secara holistik – bukan dalam IPCMC semata-mata – akan membantu memenangkan banyak pihak terhadap transformasi dalam perkhidmatan polis untuk mempersiapkan mereka untuk menghadapi abad ke-21.

Protes George Floyd di AS telah menghidupkan kembali perdebatan global mengenai peranan dan sifat kepolisian. Perubahan jelas diperlukan, termasuk di Malaysia.

Kita perlu sedar bukan sahaja masyarakat awam, tetapi juga ahli politik dan polis sendiri perlu memahami perkara ini.

Dengan keazaman politik – tidak ada alasan mengapa keadaan ini tidak boleh berubah ke arah yang positif.

* Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ahli Parlimen Setiawangsa dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri. Beliau merupakan Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan