Bandar Newpark mercu baharu Kluang

Ah Kau bersama penerima sumbangan Tahun Baharu Cina di Kluang Mall.
Ah Kau bersama penerima sumbangan Tahun Baharu Cina di Kluang Mall.
A
A
A

KLUANG - Syarikat Majupadu Development Sdn Bhd (Majupadu) akan membina satu lagi mercu tanda baharu di Kluang iaitu Bandar Newpark Kluang yang merupakan pembangunan komersial moden dan terbesar di Kluang di Jalan Batu Pahat, di sini.

Pengarah Urusannya, Tey Ah Kau berkata, Bandar Newpark tersebut yang akan dibina di atas tanah seluas 40 hektar pada tahun ini akan dikelilingi beberapa taman perumahan sedia ada dengan populasi 111,566 penduduk.

"Komponen Bandar Newpark ini ialah premis perniagaan dua hingga empat tingkat, hotel berkonsepkan resort, ruang pejabat individu, dewan konvensyen terbesar, restoran pandu lalu, pasar raya besar, panggung wayang, pusat hiburan keluarga dan hab pendidikan.

"Selain itu, terdapat pejabat kerajaan seperti Bangunan Persekutuan, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) dan Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dibina oleh Majupadu yang merupakan bangunan pertama di Kluang yang telah diiktiraf sebagai bangunan hijau dan terbesar di Utara Johor," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina di Kluang Mall, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Mohd Rafi Abdullah dan Penolong Pengurus Kluang Mall, Rafiq Rajak.

Menurutnya, syarikatnya juga akan melabur dalam jumlah yang besar untuk menaik taraf jalan daripada empat lorong kepada lapan lorong dari Taman Desa ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiau Min, di sini, untuk keselesaan pengguna jalan raya di daerah ini.

"Pihak syarikat juga telah merizabkan tanah di kawasan tersebut untuk dijadikan ruang parkir bagi menampung isu kekurangan tempat letak kenderaan dan kita akan memulakan jualan dalam masa terdekat dan kami akan berganding bahu dengan Kluang Mall untuk membawa masuk pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa untuk pembangunan ekonomi Kluang.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kami telah berjaya menyiapkan Kluang Mall ini melalui projek penswastaan dengan kerajaan dalam tempoh 10 bulan 28 hari dan kami telah menerima sijil penghargaan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) kerana menyelesaikan pulangan projek dalam tempoh ditetapkan," katanya.

Menurutnya, setiap tahun Kluang Mall menerima lebih enam juta pengunjung tempatan dan dari luar selain telah mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan mendorong ekonomi dalaman di daerah ini.

Pada majlis tersebut, seramai 60 golongan kurang berkemampuan terdiri daripada pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pusat kebajikan menerima sumbangan Tahun Baharu Cina melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kluang Mall.