Satu lagi misi City

Guardiola - Foto AFP
Guardiola - Foto AFP
A
A
A

MANCHESTER City mempunyai satu lagi misi untuk meraih kejuaraan treble musim ini selepas menewaskan Manchester United 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA, pada Sabtu.

Kapten City, Ilkay Gundogan menjadi wira dengan dua gol termasuk jaringan terpantas dalam perlawanan akhir Piala FA selepas hanya 12 saat.

Skuad bimbingan Pep Guardiola itu sudah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris kali ketiga berturut-turut dan boleh menyamai treble unik Manchester United pada 1999 jika mereka menewaskan Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara minggu depan di Istanbul.

Guardiola yang pernah membimbing Barcelona dan Bayern Munich itu memberi amaran kepada pasukannya perlu menakluki Eropah buat kali pertama untuk dianggap antara pasukan terhebat sepanjang zaman.

"Pemain tahu apa yang ada di hadapan kami. Selepas kemenangan ini, semua orang berkata: 'satu lagi trofi untuk diraih'

"Kami berada dalam kedudukan yang mungkin tidak akan pernah kami alami lagi.

"Semua orang tahu kami telah melakukan musim yang luar biasa, tetapi kami perlu memenangi Liga Juara-Juara untuk diiktiraf sebagai pasukan terbaik," katanya.

Kemenangan kedua Piala FA itu menyaksikan jumlah trofi utama Guardiola dalam tujuh musim di Manchester meningkat kepada 11 trofi.

Namun, trofi Liga Juara-Juara masih belum berjaya dimiliki oleh City walaupun berbilion-bilion dilaburkan sejak pengambilalihan yang disokong Abu Dhabi mengubah nasib kelab itu 15 tahun lalu.

"Ia satu keistimewaan dan kami hanya tinggal satu perlawanan lagi. Lebih daripada fakta treble, (ia adalah) peluang untuk memenangi Liga Juara-Juara.

"Bagi saya adalah luar biasa (untuk mara ke) dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan satu separuh akhir (dalam tiga tahun), tetapi pada akhirnya kami perlu memenanginya," katanya.