ADUN Bukit Kepong sahkan tiada kerosakan susulan gegaran gempa

Tangkap layar gegaran yang dirakam CCTV di Bukit Kepong yang tular di media sosial. - Gambar kecil (Sahruddin)
Tangkap layar gegaran yang dirakam CCTV di Bukit Kepong yang tular di media sosial. - Gambar kecil (Sahruddin)
A
A
A

MUAR – Tiada sebarang kerosakan dilaporkan susulan gegaran gempa bumi yang dirasai penduduk di kawasan Bukit Kepong sekitar jam 8.55 pagi, Ahad lalu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal, gegaran tersebut hanya berlaku sekali dan dalam tempoh yang singkat.

“Gegaran dirasai sekali sahaja sekitar jam 8.55 pagi dan ia berlaku sekejap.

“Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan kerosakan akibat gegaran tersebut sama ada melibatkan penduduk mahupun harta benda,” katanya.

Pada Ahad, satu gegaran gempa bumi kecil dilaporkan berlaku di Bukit Kepong dengan gegaran turut dirasai oleh penduduk di sekitar Felda Sri Ledang dan Felda Lenga.

Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.4 itu dilaporkan berlaku pada jam 8.55 pagi, namun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan turut mengesahkan bahawa gempa berkenaan dikesan pada koordinat 2.4° Utara dan 102.7° Timur, kira-kira 16 kilometer barat daya Pagoh, dengan kedalaman 10 kilometer.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian banjir di sekitar kawasan Bukit Kepong.

“Setakat ini memang tiada laporan yang kita terima tetapi orang ramai dinasihatkan untuk terus berwaspada.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan pula, sekarang ini musim tengkujuh dan beberapa kawasan di Segamat sudah pun dilanda banjir,” katanya.

Ringkasan AI

  • Tiada kerosakan dilaporkan susulan gegaran gempa bumi di Bukit Kepong
  • Gegaran gempa bumi berlaku sekali sekitar jam 8.55 pagi, Ahad
  • Gempa bumi tersebut berukuran magnitud 3.4 tanpa ancaman tsunami
  • Lokasi gempa dikesan dekat Pagoh dengan kedalaman 10 kilometer
  • Pihak berkuasa tidak menerima laporan berhubung banjir di Bukit Kepong tetapi nasihatkan kewaspadaan musim tengkujuh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!