PRU15: Manifesto sudah tidak relevan

Dr Mohammad Tawfik Yaakub pada Wacana Sinar ke-175 bertajuk Tanpa Manifesto: Apa Jadi Taruhan? di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.
Dr Mohammad Tawfik Yaakub pada Wacana Sinar ke-175 bertajuk Tanpa Manifesto: Apa Jadi Taruhan? di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Manifesto dilihat sudah tidak lagi relevan untuk dipertaruhkan oleh mana-mana parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, elemen manifesto ini perlu dihapuskan dalam amalan politik Malaysia.

"Ia harus diperlahankan dan akhirnya didiamkan kerana rakyat Malaysia kini sudah cukup matang untuk membuat penilaian.

"Kalau nak belajar teori ilmu politik itu ada tapi dalam parti tak perlu manifesto lagi sebab kedua-dua parti sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai pengalaman mentadbir serta 'track record' masing-masing walaupun tempoh berbeza.

"Untuk ke hadapan, gabungan politik PH dan PN ini harus meletakkan dua perkara itu iaitu track record serta pengalaman mereka sebagai taruhan pada PRU-15 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar ke-175 bertajuk Tanpa Manifesto: Apa Jadi Taruhan? di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Wacana itu turut disertai dua lagi panel iaitu Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sangetha Jayakumar dan Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar, sementara Azlan Shah Nabees Khan bertindak sebagai moderator.

Mohammad Tawfik berkata, jika pada PRU-15, kedua-dua gabungan parti politik itu masih membincangkan soal manifesto dan mahu menawarkan sesuatu berkait isu perkauman atau sebagainya untuk meningkatkan persepsi, beliau yakin rakyat tidak akan peduli mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Setiap apa yang kita cakap, rakyat akan menilai sama ada ia realistik atau hanya untuk memenangi hati mereka sebagai pengundi.

"Rakyat hanya nak tengok pengalaman," katanya.

Mohammad Tawfik berkata, rakyat Malaysia sudah mempunyai apa yang sepatutnya mereka ada terutama keperluan asas cuma isu kelangsungan hidup mereka perlu diberikan penekanan.

"Perkara itulah yang perlu diberi penekanan oleh ahli politik sebagai jaminan bukan tawaran janji bulan dan bintang sehingga akhirnya rakyat campak parti-parti politik ini keluar dari kerajaan sebab sudah hilang kepercayaan.

"Oleh itu, pada PRU-15 akan datang kempen tidak boleh lagi berkisar soal manifesto tetapi pengalaman dimiliki parti iaitu apa yang sudah dilakukan dan bukan apa yang akan dilakukan.

"Jika masih bincang soal apa yang akan dilakukan, jawapannya dalam kotak undi," katanya.