Inisiatif diterajui Malaysia di PBB raih sokongan 171 negara

Wisma Putra
Wisma Putra
A
A
A

PUTRAJAYA - Inisiatif Malaysia untuk melancarkan 'Pernyataan Sokongan kepada Rayuan Setiausaha Agung PBB mengenai Gencatan Senjata Sedunia di tengah-tengah Pandemik Covid-19' menerima sokongan 171 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara pemerhati bukan anggota dan pemerhati.

Pernyataan itu dimulakan oleh Malaysia dengan kerjasama rakan kongsi merentasi rantau seperti Bangladesh, Ecuador, Mesir, Jamaica, Jepun, Oman, Senegal dan Sweden, bertujuan menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa akan pentingnya solidariti dan simpati bersama bagi mereka yang terjejas teruk oleh perperangan ketika dunia dilanda wabak Covid-19.

Dalam kenyataannya hari ini, Wisma Putra berkata, pernyataan itu mewakili komitmen moral 171 kerajaan bagi menghalang atau menghentikan peperangan dan mencari penyelesaian secara aman terhadap konflik semasa penularan pandemik dan selepas itu.

“Pernyataan itu juga bermatlamat menggerakkan sokongan kolektif terhadap rayuan Setiausaha Agung PBB sambil mengetengahkan kepentingan multilateralisme, kedaulatan undang-undang, diplomasi, dan peranan penting wanita serta belia dalam usaha membina keamanan yang mampan,” kata Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra, Malaysia melaksanakan inisiatif itu kerana percaya anggota PBB harus bercakap dalam satu suara dan menghantar mesej politik yang tegas yang mengukuhkan lagi sokongan kolektif mereka terhadap usaha menghentikan segera pertelingkahan di seluruh dunia bagi membenarkan masyarakat antarabangsa memerangi pandemik berbahaya tersebut dengan berkesan.

“Walaupun tidak mengikat mana-mana negara dari segi undang-undang, pernyataan itu menunjukkan komitmen tidak berbelah bagi dan kepimpinan berterusan Malaysia dalam isu-isu keamanan dan keselamatan global, berkebetulan dengan ulang tahun ke-75 pemeteraian Piagam PBB pada 26 Jun,” demikian menurut kenyataan itu.

Wisma putra berkata, Malaysia komited sepenuhnya terhadap multilateralisme, khususnya dalam membawa usaha-usaha ke arah keamanan, keselamatan dan kemakmuran global, seiring dengan prinsip dan matlamat Piagam PBB.

Malaysia akan terus memainkan peranannya dalam PBB berhubung pelbagai isu yang penting, khususnya bagi negara dan keseluruhan masyarakat antarabangsa, katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Wisma Putra, Malaysia baru-baru ini telah mengetuai Jawatankuasa Persediaan bagi Persidangan Semakan Semula Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear 2020.- Bernama