Empat pemburu haram bunuh harimau Sumatera ditahan

Pihak polis menunjukkan kulit harimau yang dirampas daripada pemburu haram di Banda Aceh.
Pihak polis menunjukkan kulit harimau yang dirampas daripada pemburu haram di Banda Aceh.
A
A
A

BANDA ACEH - Empat individu disyaki pemburu haram ditahan kerana membunuh harimau Sumatera yang juga spesis terancam.

Pihak berkuasa Aceh di utara Sumatera berkata, mereka sedang giat mencari suspek kelima yang turut terbabit dalam sindiket jenayah itu.

Pada sidang akhbar hari ini, polis menunjukkan kulit harimau yang dirampas serta gigi dan tulang daripada suspek.

Jurucakap polis Aceh, Margiyanta berkata, suspek tersebut yang kini berada di bawah pengawasan polis turut memiliki gigi dan tulang beruang matahari.

"Kesemua mereka menjerat haiwan terlindung ini dan membiarkannya mati.

"Kami juga mengesyaki pelaku sebahagian daripada sindiket terancang berdasarkan cara mereka menangkap haiwan ini," katanya.

Terdahulu pada bulan Januari lalu, pihak polis menahan seorang lelaki yang cuba menjual kulit harimau pada harga 90 juta rupiah (RM27,188).

Menurut pihak berkuasa, berpuluh kes jenayah membabitkan hidupan liar dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Badan Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (Traffic), melaporkan hampir 80 peratus kematian harimau Sumatera disebabkan kegiatan pemburu haram.

Harimau Sumatera dikategorikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Pemeliharaan Hidupan Liar (IUCN) dengan hanya kurang daripada 400 ekor dipercayai masih hidup. - AFP