Saman RM872 juta kerana 'dendam politik'

Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman Dahlan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tuntutan bernilai RM872 juta oleh Yayasan Sabah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sebagai 'dendam politik'.

"Tuntutan bernilai RM872 juta oleh Yayasan Sabah terhadap Tan Sri Musa Aman adalah kempen memburuk-burukkan dan bau dendam politik oleh pentadbiran yang semakin lemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyokong penuh bekas Ketua Menteri Sabah itu menuntut ganti rugi RM1 bilion dan permohonan maaf rasmi daripada Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah atas keputusannya mengenai tuntutan saman berjuta-juta ringgit terhadap Musa.

"Kedua, masa tuntutan itu sangat mencurigakan. Mengapa sekarang dan tidak enam bulan atau setahun yang lalu?

"Saya berani mengatakan bahawa tuntutan mahkamah secara tiba-tiba dilakukan oleh Yayasan Sabah di bawah pengawasan Warisan (Parti Warisan Sabah) mengingatkan kepada usaha yang sama untuk mengenakan semula tuduhan rasuah lama yang mana Musa telah dibebaskan hanya tiga hari sebelum rayuannya terhadap kes Ketua Menteri Sabah yang sah pada tahun 2018," katanya.

Jumaat lalu, pengarah yayasan milik kerajaan negeri itu, Jamalul Kiram Mohd Zakaria memfailkan saman terhadap Musa dalam usaha mendapatkan semula wang berjumlah RM872 juta yang didakwa hilang semasa beliau merupakan pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Jamalul berkata, lembaga itu percaya dana tersebut hilang susulan aktiviti pembalakan yang meragukan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jumpa di mahkamah'- Mohd Shafie

Artikel Berkaitan:

Musa bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan dalam satu saman balas menuntut ganti rugi fitnah RM1 bilion, selain permohonan maaf rasmi berkait keputusan lembaga itu membuat kenyataan awam berhubung saman ratusan juta ringgit terhadap dirinya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, keputusan lembaga pemegang amanah mengumumkan saman itu secara terbuka bertujuan untuk 'mengejutkan dan menakjubkan' bagi 'mencetuskan sensasi dan meraih mata politik'.

Menurutnya, ia berlaku pada masa tularnya cakap-cakap mengenai wakil rakyat Warisan akan melompat parti sekali gus bertanya sama ada gabungan pemerintah itu menggunakan 'taktik kotor undang-undang' kerana takut.

"Rakyat Sabah sedar bahawa dakwaan terbaru terhadap Musa adalah menyerupai pertuduhan rasuah dan pengubahan wang yang digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara baru-baru ini.

“Nampaknya kerajaan pimpinan Warisan tidak berpuas hati terhadap keputusan itu dan bermati-matian mahu mengenakan Musa,” katanya.