MPPD turun khemah sewaan pantai Teluk Kemang

Anggota MPPD menurunkan khemah sewaan di sepanjang Pantai Teluk Kemang hari ini.
Anggota MPPD menurunkan khemah sewaan di sepanjang Pantai Teluk Kemang hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menurunkan semua khemah sewaan di sepanjang Pantai Teluk Kemang di sini, sebagai langkah mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta memastikan kebersihan di kawasan berkenaan.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, dalam operasi bersepadu dijalankan pada Jumaat lepas, sebanyak 30 khemah besi, dua khemah kayu dan beberapa khemah yang telah reput dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai telah diturunkan.

“Pihak MPPD telah mendapat kerjasama yang baik daripada Persatuan Peniaga Teluk Kemang dan para pengusaha yang terlibat dalam operasi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Zamri berkata, pengusaha khemah sewaan boleh menjalankan operasi, namun berdasarkan permintaan pelanggan sahaja.

Tambahnya, mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) MPPD yang dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk memastikan jarak antara khemah sewaan adalah 1.5 meter, merekodkan nama dan suhu pelanggan serta melakukan nyahcemar khemah setiap kali digunakan.

Sebelum ini, terdapat rungutan daripada pengunjung Pantai Teluk Kemang berhubung khemah sewaan di sepanjang pantai itu yang mencacatkan keindahan pantai serta mengundang kekotoran. - Bernama

Artikel Berkaitan: