Empat cedera berebut parkir

Mohd Azhan Abdul Halim
A
A

BATU PAHAT - Empat lelaki cedera di bahagian kepala dan badan selepas tidak berpuashati dalam isu parkir kenderaan di Taman Flora Utama, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Mohd Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis telah menerima maklumat daripada orang awam menyatakan ada pergaduhan di kawasan tersebut.

"Siasatan awal mendapati, telah berlakunya pergaduhan di antara dua kumpulan yang menyebabkan empat lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan dipercayai dipukul dengan botol arak.

"Punca kejadian adalah disebabkan ketidakpuashati dalam isu parkir letak kenderaan dan setakat ini tiada sebarang pengaruh atau elemen kongsi gelap yang menyebabkan pergaduhan," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis telah berjaya menangkap 12 lelaki di sekitar Batu Pahat pada Sabtu lalu dan semua tangkapan ditahan reman sehingga 24 Januari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun atau didenda atau dengan keduanya sekali.

"Polis amat memerlukan kerjasama dalam masyarakat untuk membantu kami mencegah serta menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku di dalam komuniti.

"Sebarang maklumat dari masyarakat berkaitan kes pergaduhan ini amat dialu-alukan," katanya.