Empat cedera parah kereta hilang kawalan

Keadaan Honda Civic yang terlibat kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana menghala ke Kampung Fikri di Setiu pada pagi Khamis.
Keadaan Honda Civic yang terlibat kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana menghala ke Kampung Fikri di Setiu pada pagi Khamis.
A
A
A

SETIU - Empat individu cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana menghala ke Kampung Fikri di sini, pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 pagi melibatkan kereta jenis Proton Persona dan Honda Civic.

Menurutnya, semasa kejadian Proton Persona dalam perjalanan dari Besut menghala ke Merang, Setiu sementara Honda Civic dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Besut.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda Civic yang dipandu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan menyebabkan Proton Persona tidak sempat mengelak lalu bertembung.

"Kemalangan tersebut menyebabkan semua pemandu dan penumpang kedua-dua kereta mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, empat individu yang menaiki Honda Civic mengalami kecederaan parah iaitu pemandu, Muhammad Syamil Khairul Ihsam, 20, patah paha kiri manakala Syed Muhammad Fitri Syed Ahmad Yani, 20, cedera pada bahagian kepala dan ditidurkan.

Katanya, dua lagi individu yang menaiki kereta sama iaitu Muhammad Izzat Abdul Rohim, 20, dan Hafiz Azizi Harun, 20, mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

"Keadaan kecederaan dialami tiga individu yang menaiki kereta Proton Persona iaitu pemandu, Mohd Redzuan Aisha, 47, dan penumpang, Saliha Hasan, 38, serta Nurul Fatihah Mohd Redzuan, 6, belum dikenal pasti.

"Kesemua pemandu dan penumpang telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," kata beliau.