Kes Riza: PM6 bidas analogi PM7

Najib dan Dr Mahathir
Najib dan Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mempertikai pembebasan Riza Aziz daripada tuduhan pengubahan wang haram.

Najib dalam satu kenyataan, merujuk kepada wawancara Dr Mahathir bersama sebuah portal berita baru-baru ini apabila menyebut mengenai kes Riza namun tanpa menamakannya, sebagai contoh bagaimana kedaulatan undang-undang dicabuli.

"Sebab sekarang ini kita lihat, curi 11 ekor ayam bagi balik seekor. Oh Okay, 10 ekor boleh simpan.

"Ini undang-undang baru, jadi apa kita boleh buat," soal Dr Mahathir dalam wawancara bersama portal itu.

Bagaimanapun, menurut Najib, yang juga bapa tiri kepada Riza, analogi Dr Mahathir itu tidak betul dan tepat.

"Ini bukan kes curi 11 ekor ayam, pulangkan seekor seperti didakwa PM7.

"Ini kes menerima 11 ekor ayam, pulangkan 13 ekor," katanya dalam catatan di Facebooknya sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan Najib di akaun Facebook miliknya.
Kenyataan Najib di akaun Facebook miliknya.

Menurutnya, Riza tidak didakwa mencuri, pecah amanah atau salah gunakan kuasa seperti kes Lim Guan Eng.

Menurutnya, Riza didakwa kerajaan PH di bawah Akta AMLA menerima pelaburan daripada pihak berkait kerabat diraja Timur Tengah yang juarakan usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Riza tak pernah terima wang terus daripada 1MDB. Riza bukan didakwa bawah akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau bawah Kanun Keseksaan.

"Dah banyak kali dijelaskan bahawa Riza bayar balik AS$40 juta lebih daripada AS$248 juta yang dia terima sebagai dana pelaburan untuk projek-projek filem dia," kata Najib lagi.

Riza adalah pengasas bersama Red Granite Pictures yang didakwa menerima wang daripada Good Star Limited (ditubuhkan di Seychelles) dan Aabar Investment PJS Ltd (Britain Virgin Islands).

Secara keseluruhan, syarikat-syarikat tersebut dilaporkan menerima wang daripada 1MDB antara tahun 2009 dan 2012.