X

Kindly register in order to view this article
!

Ajal melawat keluarga

Kereta Proton Exora dipandu Muhammad Ruszamil dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam parit.
A
A

KEPALA BATAS - Dua beranak maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam parit di Kilometer 119.2 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian pada jam 10.45 malam itu, Rusnah Othman, 60 dan anaknya, Muhammad Ruszamil Mohd Fazil, 20 maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Menurutnya, tiga lagi penumpang yang juga ahli keluarga mangsa termasuk seorang kanak-kanak cedera.

"Kejadian berlaku ketika Proton Exora yang dipandu Muhammad Ruszamil dalam perjalanan dari Taiping, Perak menghala ke Sungai Petani, Kedah untuk menziarahi keluarga.

"Ketika tiba di lokasi Muhammad Ruszamil dipercayai hilang kawalan lalu kereta mereka naiki terbabas ke kiri lebuh raya dan terjatuh ke dalam parit besar sedalam 4 meter hingga menyebabkan kesemua mangsa terperangkap.

"Dua lagi anak Rusnah, Mohd Fairus Mohd Fazil, 36, dan Muhammad Faizul Mohd Fazil, 30, serta cucunya, Muhammad Faizureen Abdul Muhaimin, 2, cedera parah," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, Mohd Fairus yang cedera kaki dan tangan dan Muhammad Faizureen yang parah pada bahagian kepala dibawa ke Hospital Kepala Batas sementara Muhammad Faizul dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim.

"Dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang ramai manakala tiga lagi mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba dan operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 40 minit.

"Bagaimanapun katanya, pasukan perubatan mendapati dua mangsa meninggal dunia," katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan orang awam yang menyaksikan kemalangan tersebut diminta tampil untuk menyalurkan maklumat.

"Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!