Pertembungan anak peneroka, anak pemimpin politik, cucu Mat Kilau

Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain (kanan) bersama dua calon Bebas Mohd Shukri Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin (kiri) ketika diumumkan sebagai calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, semalam. - Foto Bernama
Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain (kanan) bersama dua calon Bebas Mohd Shukri Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin (kiri) ketika diumumkan sebagai calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini selepas proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA telah menyaksikan 10 kali Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sejak lebih dua tahun lalu.

Namun, ada banyak beza, unik dan istimewanya PRK ke-11 di Chini, Pahang yang baru membuka tirainya kempennya semalam.

Inilah PRK pertama yang diadakan selepas Malaysia baru saja melepasi peringkat kritikal pandemik Covid-19.

PRK Chini walaupun diketahui bakal menyaksikan perhimpunan ahli politik dari seluruh negara, namun dengan Malaysia kini dalam fasa pemulihan Covid-19, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi lampu hijau untuk PRK diadakan di Pahang.

Namun, atas alasan Covid-19 jugalah kita menyaksikan beberapa parti utama seperti PKR dan Amanah tidak menghantar calon untuk bertanding, walaupun ramai yang tahu hakikat sebenarnya Chini ialah kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Malah, BN hampir pasti tidak dapat ditumbangkan di Chini apabila parti itu tampil atas gabungan Muafakat Nasional bersama Pas.

Apatah lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU14), pencabar utama Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang mewakili BN ialah calon Pas dan bukannya calon Pakatan Harapan (PH).

Pada pilihan raya itu Abu Bakar mendapat 7,675 undi, calon Pas, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim memperoleh 4,622 undi manakala calon PH, Mohamad Razali Ithnain hanya mendapat 1,065 undi.

Artikel Berkaitan:

Namun, PRK Chini menjadi sangat menarik kerana senario politik Malaysia semasa kini yang sudah pun berubah hampir 360 darjah berbanding 10 Mei 2018.

PH yang menjadi kerajaan telah tumbang pada hujung Februari lalu selepas 22 bulan memerintah. UMNO dan BN pula yang kapal besarnya dikaramkan pada PRU14 kini membina kapal besar baharu dengan Pas.

Namun, lebih sukar terjangkau dalam fikiran ramai, parti Bersatu yang dulu antara penembak meriam ke kapal UMNO sejak tiga bulan lalu sedang menjalin kerjasama sebagai kerajaan dengan BN dan Pas atas semangat Perikatan Nasional (PN).

Tiga penjuru

Atas faktor itulah, semua mata rakyat Malaysia kini tertumpu di Chini untuk menyaksikan dan melihat bagaimana pengundi warga Felda menterjemahkan sokongan dalam konteks senario politik semasa.

Walaupun pada awalnya calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, dijangka menang tanpa bertanding, namun akhirnya semalam SPR mengumumkan PRK Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Walaupun BN tidak ditentang parti-parti utama pembangkang, namun dua calon Bebas yang mencabar Mohd Sharim bukanlah calang-calang individu.

PRK N23 di Chini akhirnya menyaksikan pertembungan politik antara anak peneroka Felda, anak pemimpin politik dan ‘cucu’ Mat Kilau.

“Sejujurnya sayalah bukan insan sempurna untuk mentadbir, tetapi sebagai amanah dan selaku anak peneroka generasi kedua, saya akan menjadi wakil masyarakat di Felda, kampung tradisi dan orang asli.

“Itu yang akan saya perjuangkan dan saya minta masyarakat Felda memberi kepercayaan terhadap saya,” demikian ungkap Mohd Sharim, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan, yang menekankan susur galurnya sebagai anak peneroka Felda.

Walaupun BN mengetepikan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak iaitu Datuk Mohd Nizar untuk memberi laluan kepada Mohd Sharim di DUN N23, namun penglibatan Mohd Sharim dalam banyak aktiviti terutamanya program belia menyebabkan beliau sangat dikenali di Chini.

“Kalau calon bebas itu mungkin saya terlepas pandang, tidak berapa kenal, tapi calon UMNO itu saya kenal sebab dia orang sini. Anak peneroka Felda juga,” kongsi Fatimah Talib, 65, dari Kampung Batu Sawah Mukim Lepar ketika didekati Sinar Harian di Chini semalam.

Fatimah
Fatimah

Ternyata dengan 20,990 orang pengundi di DUN Chini yang majoritinya merupakan warga Felda, Mohd Sharim hanya selangkah saja lagi untuk menang dan menjadi wakil rakyat pada 4 Julai ini.

Ibu bekas ADUN

Namun begitu, calon Bebas yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Husin, 64, sebenarnya bukanlah orang luar bagi pengundi Chini.

Walaupun timbul isu bahawa perbuatan Tengku Zainul Hisham bertanding di PRK Chini membelakangkan Bersatu, namun bagi orang Pahang, figura itu dikenali bukan kerana jawatannya bersama Bersatu semata-mata.

Mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Pahang, Tengku Zainul Hisham sendiri sebenarnya membesar dalam sebuah keluarga politik. Beliau merupakan anak kepada Allahyarham Datuk Shamsiah Abdul Hamid yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Pekan, Pahang antara tahun 1974 hingga 1982.

“Jangan disebabkan ada nama dan keturunan darah diraja, saya dikatakan akan guna akses itu. Bukan, bukan. Saya lahir dengan mak saya orang biasa dan saya bercampur gaul dengan orang biasa sejak kecil,” ujar Tengku Zainul Hisham.

Ditanya adakah tindakan beliau menjadi calon kerana mewakili kem Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tengku Zainul Hisham, beliau tidak memihak kepada mana-mana kem.

“Kem Tun pun tidak, kem Tan Sri Muhyiddin Yassin pun tidak,” katanya.

Dengan PH tidak menghantar calon dan khabar angin yang mengaitkan Tengku Zainul Hisham sebagai orang kem Dr Mahathir, calon Bebas itu nampaknya hampir pasti bakal mendapat undi daripada pengundi PH di Chini.

Dalam pada itu, dengan menggunakan gelaran cucu Mat Kilau Pahlawan Pahang, seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, juga sangat dikenali dalam kalangan orang Pahang.

Aktif sebagai blogger serta gerakan pertubuhan bukan kerajaan dan pernah mendokong perjuangan PKR sebelum keluar daripada parti itu, Mohd Shukri sebenarnya bukanlah muka baharu dalam pertandingan pilihan raya di Pahang.

Mohd Shukri pernah dua kali menjadi calon mewakili Pakatan Rakyat di DUN Kemayan pada PRU12 dan calon Bebas di DUN Semambu pada PRU13. Selain itu percubaannya bertanding pada PRK Parlimen Rompin pada tahun 2015 gagal selepas penyokong dan pencadangnya dikatakan tidak hadir.

Chu bertemu dengan Mohd Sharim di Chini untuk meluahkan isu dan masalah orang asli Kampung Melai.
Chu bertemu dengan Mohd Sharim di Chini untuk meluahkan isu dan masalah orang asli Kampung Melai.

Lantang memperjuangkan isu dan masalah rakyat Pahang, cucu Mat Kilau itu mungkin boleh memikat hati masyarakat yang telah dibantunya.

Yang pasti, bagi penduduk Chini, harapan mereka sudah tentulah wakil rakyat mereka nanti boleh memperjuangkan isu-isu infrastruktur.

“Kampung Melai di Chini ini ialah kampung tradisi yang sudah wujud selama ratusan tahun. Tetapi kami tak ada elektrik lagi. Jalan pun masih tanah merah.

“Kami harap calon-calon PRK DUN Chini yang boleh bantu, datanglah ke kampung kami. Orang asli tak ada akses telekomunikasi, kalau calon datang kenallah kami,” kata Pengerusi MPKK Orang Asli Kampung Melai daripada suku Jakun, Chu Betiyu.