TFC, TFC II kembali turun padang

Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain sudah merangka pelan latihan tersendiri bagi mengikuti SOP yang ditetapkan. - FOTO: FB TFC
Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain sudah merangka pelan latihan tersendiri bagi mengikuti SOP yang ditetapkan. - FOTO: FB TFC
A
A
A

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) akan memulakan latihan esok setelah mendapat kelulusan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Khamis lalu.

Beliau turut menafikan laporan yang menyatakan permohonan TFC dan TFC II tidak diluluskan memandangkan PBSNT berjaya melengkapkan semua syarat ditetapkan oleh MFL bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu berkaitan ujian calitan, melantik seorang pegawai penyelaras, venue latihan serta mendaftarkan venue kepada MITI.

Semua latihan akan diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak dengan kawalan venue yang ketat dengan tidak dibenarkan sebarang orang luar dibenarkan masuk mendekati pusat latihan.

“Kami telah menghantar semua dokumen diperlukan pada Rabu (17 Jun) dan telah diluluskan oleh MFL, namun kami akan memulakan latihan pada Ahad setelah semuanya bersedia.

“Semua proses berjalan lancar dan tiada sebarang masalah daripada pihak kami bagi MFL meluluskan permohonan yang telah diarahkan termasuk tempat latihan di Gong Badak.

“Sesi latihan nanti akan dirancang barisan kejurulatihan memandangkan hanya 10 pemain dan 4 sahaja pegawai dibenarkan dalam satu tempoh masa 45 minit.

“Pintu masuk di Kompleks Sukan Gong Badak akan dibantu pihak keselamatan untuk memastikan hanya pemain, pegawai dan orang tertentu sahaja dibenarkan masuk ke kawasan latihan, ” katanya.

Setakat ini, beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, UiTM FC, Selangor 2 dan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memulakan latihan selepas berjaya melengkapkan empat syarat utama ditetapkan oleh MFL.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Eksekutif Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman menyatakan pandangannya bahawa pasukan yang mahu menjimatkan kos ujian calitan atau swab test boleh mencari jalan alternatif dengan melakukannya di hospital milik kerajaan.

Baginya, kos di hospital kerajaan tidak terlalu mahal jika hendak dibandingkan dengan hospital pihak swasta jadi tidak timbul masalah untuk mana-mana pasukan melaksanakan SOP yang ditetapkan oleh MFL sepertimana dikehendaki Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya bagi contoh, kos paling murah difahamkan bagi seorang jika membuat ujian di hospital swasta dalam sekitar RM350. Jika di hospital kerajaan walaupun masih kena bayar tetapi tidak semahal di hospital swasta," jelasnya.