Pengadil didakwa mabuk ketika kendali aksi ACL 2

PENGADIL perlawanan, Hanna Hattab mencetuskan kontroversi apabila digantikan pada separuh masa pertama dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) antara Al Jazira dan Gol Gohar pada Khamis susulan dakwaan berada dalam keadaan tidak normal ketika mengendalikan perlawanan.
Insiden membabitkan pengadil dari Syria itu mencuri perhatian selepas beberapa keputusan yang dibuatnya menimbulkan persoalan terutama ketika perlawanan memasuki minit ke-32.
Selepas pemain Gol Gohar, Ali Asghar Ashouri dikasari di bahagian tengah padang, Hattab dilihat mengambil masa sebelum membuat keputusan sebelum secara tiba-tiba memanggil penjaga gol Al Jazira, Ersin Destanoglu untuk dilayangkan kad kuning.
Keputusan itu mengundang kebingungan dalam kalangan pemain Al Jazira, termasuk Destanoglu sendiri yang kelihatan tidak memahami sebab dirinya dikenakan tindakan.
Jurulatih Gol Gohar, Mehdi Rahmati dilaporkan menjerit mendakwa pengadil berkenaan mabuk ketika insiden itu berlaku.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan belum disahkan secara rasmi.
Pengurus pasukan Gol Gohar, Heydar Afsari, mendakwa Hattab tidak berada dalam keadaan normal sehingga turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain kedua-dua pasukan.
Menurutnya, pihak kelab sudah memaklumkan perkara itu kepada pegawai perlawanan dan memberi amaran bahawa mereka tidak akan meneruskan aksi sekiranya situasi berkenaan tidak ditangani.
Afsari turut mendakwa pemain Al Jazira, João Milson yang memakai jersi nombor 77 sepatutnya dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran kedua, namun pengadil sebaliknya merekodkan kad berkenaan atas nama penjaga gol lawan.
Hattab akhirnya digantikan selepas aduan dikemukakan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada waktu rehat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
