Chean Chung, semak dulu minit mesyuarat!

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung disaran mendapatkan minit Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 30 Mei lalu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dua cadangan calon Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook mencadangkan Chean Chung berbuat demikian dengan merujuk kepada Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifudin Nasution.

“Kami merujuk kepada kenyataan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung yang mempertikaikan kenyataan kami semalam berhubung dua opsyen calon Perdana Menteri yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 30 Mei 2020.

“Chean Chung bukan anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan dan beliau tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Majlis Presiden.

“Justeru, beliau tidak tahu isi kandungan perbincangan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat 30 Mei tersebut,” kata mereka menerusi kenyataan bersama tersebut.

Menurut mereka, kenyataan yang dikeluarkan semalam adalah perkara yang diputuskan dan diminitkan dalam mesyuarat berkenaan serta mereka menghormati keputusan dan pendirian PKR sekali gus menerimanya dengan hati terbuka.

Pagi tadi Chean Chung yang juga Adun Semambu mempertikaikan langkah DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri PH Plus.

Menurut Chean Chung, sebagai orang yang biasa dengan peraturan mesyuarat, sebarang keputusan PH sepatutnya dicapai dalam mesyuarat gabungan berkenaan terlebih dulu sebelum ia boleh dibawa ke mesyuarat lain.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Loke dan Khalid memaklumkan mesyuarat PH bersetuju sekiranya keputusan mencalonkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak memungkinkan PH untuk merampas Putrajaya, lalu usaha diteruskan dengan pilihan kedua iaitu mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai timbalan.

Kemelut parti dalam PH Plus dalam menentukan calon Perdana Menteri belum mencapai kata sepakat apabila DAP, Amanah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mencalonkan Dr Mahathir manakala PKR bertegas memilih Anwar.