Langkawi SkyCab kembali beroperasi

Hanya empat orang dibenarkan menaiki setiap gondola berbanding muatan asal iaitu enam orang. - Foto Siti Shahrosamirah Shaharman
Hanya empat orang dibenarkan menaiki setiap gondola berbanding muatan asal iaitu enam orang. - Foto Siti Shahrosamirah Shaharman
A
A
A

LANGKAWI - Sektor pelancongan domestik di pulau bebas cukai ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dijangka kembali rancak apabila Langkawi SkyCab antara produk pelancongan paling dikenali dan popular mula beroperasi hari ini.

Sebaik dibuka semula, lebih 100 pengunjung sudah mula berpusu-pusu menaiki Langkawi SkyCab antara sistem kereta kabel tercuram di dunia yang menghubungkan Oriental Village di Teluk Burau dengan Gunung Machinchang yang tingginya 708 meter dari aras laut.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Hezri Adnan berkata, pembukaan semula Langkawi SkyCab yang ditutup selama 94 hari itu turut memberi perhatian kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Langkawi SkyCab ialah satu produk ikonik pulau ini, pembukaan semula operasi selepas ditutup selama 94 hari amat dinanti-nantikan, Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) turut memperkenalkan beberapa SOP pasca Covid-19 seperti memeriksa suhu badan dan menanda pita pelekat di lantai sebagai panduan jarak sosial kepada pengunjung

“Selain itu hanya empat orang dibenarkan menaiki setiap gondola berbanding muatan asal iaitu enam orang," katanya kepada selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Semula Langkawi SkyCab di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd, Ir Abu Hashim Abd Rahman.

Menurutnya, hari pertama operasi semula Langkawi SkyCab menyaksikan lebih 100 pengunjung mengambil peluang untuk menaiki sistem kereta kabel itu petanda positif kepada sektor pelancongan domestik pulau ini.

"Bagi merancakkan kembali sektor pelancongan domestik di pulau ini, PLSB menawarkan pakej menarik iaitu potongan harga tiket hanya RM38 berbanding RM43 untuk dewasa dan RM28 berbanding RM39 untuk kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

“Pengunjung yang membeli tiket bukan sahaja dapat menaiki Langkawi SkyCab tetapi empat produk lain seperti SkyDome, SkyRex, 3D Art Langkawi dan SkyBridge. Tawaran terbuka kepada semua warga Malaysia sehingga 31 Julai ini," katanya. - Bernama