Kes Covid-19 di semua fasiliti kesihatan perlu dinotifikasikan

Dr Noor Hisham bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong (kanan) selepas sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong (kanan) selepas sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes positif koronavirus (Covid-19) di kesemua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta haruslah dinotifikasikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini kerana kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, wabak itu telah pun didaftar sebagai penyakit yang perlu dinotifikasi (notifiable disease) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta haruslah memberi notifikasi kepada KKM," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, KKM akan mempergiatkan aktiviti pengesanan aktif Covid-19 bagi mencegah penularan di dalam komuniti.

"Aktiviti tersebut membolehkan pengesanan awal dan tindakan pembendungan penularan dapat segera diambil," katanya.

Beliau berkata, surveilan klinikal dilaksanakan melalui pengambilan sampel untuk saringan Covid-19 secara rawak dari fasitili kesihatan KKM.

"Sehingga minggu epid ke-24 (iaitu sehingga 13 Jun 2020), sebanyak 19,309 sampel Influenza Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) telah diambil.

"Keputusan mendapati 15 positif membabitkan kes ILI daripada 2,048 sampel dan 76 kes SARI disahkan positif daripada 17,261 sampel," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, KKM berterusan melakukan saringan tertumpu terhadap sembilan kumpulan yang telah dikenal pasti iaitu perhimpunan Seri Petaling, pusat tahfiz dan madrasah, petugas kesihatan, lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, turut disaring ialah mereka yang pulang dari luar negara, pasar, pekerja asing tapak pembinaan, pusat jagaan warga emas dan depot tahanan.

Beliau berkata, aktiviti surveilan Covid-19 akan diteruskan walaupun sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditamatkan.

"Tindakan ini akan dimantapkan termasuk di sektor swasta," katanya.