X

Kindly register in order to view this article
!

Opsyen DAP lantik Tun M calon PM saranan terbaik: Amanah

Laporan Sinar Harian semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan opsyen dicadangkan DAP untuk Pakatan Harapan (PH) melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri kesembilan adalah saranan terbaik.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan, bagaimanapun, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih diletakkan sebagai keutamaan menggantikan Dr Mahathir apabila beliau dipersetujui menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan dijamin mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas enam bulan kerajaan ditadbir PH.

Menurutnya, terma dan syarat terkini peralihan kuasa Perdana Menteri di antara Dr Mahathir dan Anwar adalah lebih jelas berbanding terma terdahulu di mana Anwar dijamin berada dalam Kabinet kerajaan dipimpin Dr Mahathir dengan tempoh peralihan kuasa ditetapkan enam bulan berdasarkan persetujuan bertulis.

"Saya amat memahami perkara ini mungkin sangat sukar diterima Anwar, sama juga dengan Tun (Dr Mahathir) yang akan menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga apabila terma dan syarat ditetapkan PH diibaratkan seperti kesukaran masing-masing menelan 'tulang terlekat di kerongkong'.

"Bagaimanapun, Anwar dan Dr Mahathir perlu melihat kepada benda lebih besar iaitu mengembalikan mandat rakyat dan memikirkan kepentingan negara meskipun keputusan perlu dibuat adalah sangat sukar.

"Setakat ini, Amanah berpandangan opsyen dicadangkan DAP bagi calon PM PH adalah yang terbaik, namun kita masih meletakkan Anwar sebagai keutamaan bagi menggantikan Dr Mahathir dan ini peluang terbaik kita (kembalikan mandat rakyat)," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut menegaskan opsyen dikemukakan DAP adalah salah satu cadangan dikemukakan dalam meja rundingan dan bukan berbentuk peribadi.

Menurutnya, Amanah dan beberapa parti lain terlibat dalam perbincangan PH Plus juga merasakan cadangan itu adalah yang terbaik pada saat episod perbincangan sudah sampai ke kemuncak.

"Oleh kerana keputusan itu terletak di tangan Anwar, kalau beliau setuju, maka akan selesai urusan itu.

"Cepat atau lambat keputusan dibuat hanya untuk melegakan penantian dibuat rakyat yang mahukan mandat mereka dikembalikan," katanya.

Mujahid turut menjelaskan, Amanah tidak pernah menekan Anwar dengan menetapkan tarikh khusus kepada Ketua Umum PH itu memberi jawapan terhadap opsyen dikemukakan.

Sebaliknya, beliau menekankan keperluan semua pihak memberi ruang kepada Anwar untuk meyakinkan penyokong beliau.

"Kami daripada Amanah tidak mahu memberi tekanan kepada Anwar. Cuma saya merasakan kalau lagi cepat beliau beri jawapan, persoalan isu calon PM akan jadi lebih jelas.

"Saya sangat meyakini Anwar sebagai seorang tokoh politik sangat berprinsip, tegas dan berjiwa besar melebihi pemimpin yang ada di negara ini, akan membuat keputusan terbaik untuk semua.

"Kita jangan menekan beliau kerana akhirnya semua tahu kita (PH) akan mencapai persetujuan tanpa pertikaian Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan DAP telah membuat keputusan untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) sementara Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, parti itu sudah membuat keputusan dan mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membuat keputusan dengan segera.

Jelas beliau, adalah penting untuk PKR menyatakan sama ada parti itu bersetuju atau tidak dengan cadangan tersebut.

Bagaimanapun, cadangan itu disifatkan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai tidak adil susulan rekod Dr Mahathir dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri yang menimbulkan ketidaktentuan ketika PH mentadbir kerajaan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP sokong Dr Mahathir jadi PM, Anwar TPM

Tidak adil paksa Anwar terima Tun M calon PM ke-9, kata Nik Nazmi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!