Kastam patah cubaan seludup minuman keras bernilai RM597,000

Kastam merampas minuman keras yang dianggarkan bernilai RM597,000.
Kastam merampas minuman keras yang dianggarkan bernilai RM597,000.
A
A
A

KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dengan penahanan tujuh buah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini pada 1 Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifah berkata, pihaknya mendapati tiada pengikraran borang import dibuat oleh pengimport ke atas dagangan tersebut.

“Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan (Bill of Lading) dan Daftar Muatan Kapal menunjukkan dagangan dalam tujuh buah kontena tersebut telah diikrarkan sebagai ‘Packaging Bags, Plastic Bottle, Double Sided Tape, Belt dan Cup’, ia diimport dari salah sebuah negara di Asia Timur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Johari berkata, hasil pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas tujuh buah kontena tersebut, pihaknya menemui pelbagai jenis minuman keras.

“Minuman keras berkenaan diletakkan di bahagian belakang kontena manakala barangan lain seperti cawan kertas, beg plastik, paper roll, peralatan sembahyang dan table top diletakkan di bahagian hadapan kontena,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import sah.

“Kita telah merampas minuman keras sebanyak 99,120 liter yang dianggarkan bernilai RM597,000 dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM3.17 juta,” katanya.

Beliau berkata, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket ini sedang dikesan.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, syarikat perkapalan telah disoal siasat bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya.

Johari turut menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat

berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Kita juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.