X

Kindly register in order to view this article
!

Solat jemaah, Jumaat dan aktiviti keagamaan dibenarkan di Kelantan

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat jemaah lima waktu, solat Jumaat dan aktiviti masjid serta surau dilaksanakan seperti biasa di negeri ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohammad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran tersebut berkuat kuasa pada 19 Jun ini.

Beliau berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, telah mengampuni perkenan agar solat Jumaat, solat fardu, serta pelaksanaan aktiviti di masjid, surau dan musalla di negeri Kelantan dibenarkan namun dilaksanakan secara terkawal bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Ia dibenarkan setelah mengambil kira pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan belum benar solat berjemaah terbuka

Solat Jumaat 40 jemaah, bermula Jumaat ini

“Kehadiran jemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar setelah diambil kira keperluan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter termasuk di anjung dan pekarangan masjid, surau serta musalla,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran berkenaan adalah tidak membabitkan kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan bagaimanapun memberitahu, jemaah yang bergejala dan berpenyakit kronik termasuk kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun tidak dibenarkan.

“Masjid, surau dan musalla akan dibuka satu jam sebelum waktu solat dan ditutup setelah selesai,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Kelantan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Sementara itu, berkaitan dengan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau pula katanya, sebarang program boleh dilaksanakan kecuali yang senaraikan dalam aktiviti larangan termasuk keraian, gotong-royong dan sebagainya.

“Ia tertakluk kepada peraturan kesihatan, peraturan pihak berkuasa tempatan dan arahan serta peraturan pihak berkuasa agama negeri.

“Hanya kuliah Subuh dan Maghrib dibenarkan dengan syarat jemaah mematuhi penjarakan sosial. Kuliah Maghrib ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak dan Subuh pula selama 15 minit,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, setiap aktiviti ilmu yang dijalankan, penceramah undangan perlu kebenaran khas MAIK dan dinasihatkan membuat saringan ujian Covid-19 sebelum menerima tawaran jemputan daripada masjid dan surau.

Bagi kemudahan jemaah juga, MAIK membenarkan ruang yang terhad dibuka di masjid, surau dan musalla untuk musafir singgah menunaikan solat.

Selain itu katanya, majlis akad nikah dibenarkan dilaksanakan di masjid atau surau dengan mematuhi penjarakkan sosial dengan mengambil kira tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa.

Katanya, MAIK mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan yang dibenarkan termasuk pematuhan SOP sepenuhnya.

Sebelum ini Kelantan membenarkan jemaah solat Jumaat kepada 40 orang manakala solat jemaah fardu hanya empat orang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!