Solat Jumaat 40 jemaah, bermula Jumaat ini

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan membenarkan jemaah solat Jumaat ditambah kepada 40 orang berbanding sebelum ini hanya 12 individu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran tersebut berkuatkuasa pada 5 Jun ini.

Beliau berkata, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan selaku Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah mengampuni perkenan agar solat Jumaat di negeri ini dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ianya terkawal sebagai langkah membendung penularan koronavirus (Covid-19).

“Penambahan bilangan jemaah daripada 12 orang kepada 40 orang terdiri daripada Imam Tua, Imam Muda, Bilal, Siak, Ahli Jawatankuasa masjid dan anak-anak mukim yang terpilih setelah mendapat pandangan Mufti Negeri Kelantan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Diingatkan agar pelaksanaan Solat Jumaat ini mestilah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan untuk mengelak berlakunya penularan virus Covid-19 di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pastikan Pegawai-pegawai masjid (Imam Tua, Imam Muda, Bilal dan Siak), Ahli Jawatankuasa Masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja dibenarkan serta tidak melebihi jumlah 40 orang.

“Sediakan senarai dan maklumat jemaah yang terpilih dan mendaftarkan kehadiran di dalam buku pendaftaran.

“Saringan suhu kepada para jemaah yang hadir perlu dibuat. Mereka yang mempunyai bacaan suhu lebih 37.40 darjah celsius adalah tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa, Ahli Jawatankuasa dan anak-anak mukim yang berumur 70 tahun ke atas serta bergejala batuk, demam selain sakit tekak juga tidak dibenarkan hadir.

Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa pintu pagar masjid dibuka 20 minit sebelum azan dan memastikan khutbah dan solat Jumaat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan Jumaat.

“Kebenaran pelaksanaan solat Jumaat ini tertakluk kepada kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid.

“SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini.

“MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.