Pasar Pagi Kampung Baru Rahang mula dibuka hari ini

Pasar Pagi Kampung Baru Rahang mula dibuka hari ini.
Pasar Pagi Kampung Baru Rahang mula dibuka hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Setelah tiga bulan tidak berniaga, hari ini kira-kira 50 penjaja di Pasar Pagi Kampung Baru Rahang di sini memulakan perniagaan mereka seperti biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran berkata, mereka sepatutnya boleh menjalankan perniagaan pada 15 Jun lalu, namun disebabkan masalah tempat menjalankan perniagaan sebelum ini tidak sesuai, maka ia terpaksa ditangguhkan.

Katanya, sebelum memulakan operasi perniagaan, pihak penganjur perlu mempunyai tempat yang sesuai dan wajib mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Pasar pagi yang sudah beroperasi lebih 50 tahun di sini perlu diubah tempat berikutan tapak lama tidak sesuai kerana berdekatan dengan laluan utama selain sempit.

"Kalau guna tapak lama, pihak penganjur tidak boleh melakukan SOP yang ditetapkan seperti penjarakkan sosial dan laluan sehala. Jadi, saya bersama Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin cuba mencari alternatif lain untuk membantu penjaja.

"Akhirnya, surat permohonan kami untuk menggunakan jalan lama milik Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tapak baharu pasar pagi harian diluluskan, jadi semua peniaga dapat memulakan perniagaan mereka di tempat baharu bermula hari ini dengan lebih selesa serta mengikut SOP yang telah ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Pasar Pagi Kampung Baru Rahang di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Adun Temiang, Ng Chin Tsai.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung yang datang perlu mengisi butiran diri sebelum dibenarkan masuk.
Pengunjung yang datang perlu mengisi butiran diri sebelum dibenarkan masuk.

Dalam pada itu, menurut Cha Kee Chin, lokasi tapak baharu pasar pagi tersebut lebih baik berbanding sebelumnya.

Kata Kee Chin, pihaknya berterima kasih kepada semua terlibat terutama JKR Negeri dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kerana dalam masa sehari semua keperluan dan kebenaran memulakan operasi pasar pagi dapat diluluskan dengan segera.

"Kelulusan dan kebenaran menggunakan tapak baharu ini sangat penting dan bermakna kepada semua penjaja di sini.

"Lebih tiga bulan mereka tidak berniaga dan tidak ada pendapatan, tetapi pada hari ini kita dapat melihat mereka kembali berniaga untuk mendapatkan rezeki," katanya.

Sementara itu, salah seorang penjual roti yang ditemui, Koh Choi Lan,66, berkata, ini adalah hari pertama dia berniaga sejak cuti tiga bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, selama tiga bulan itu, dia tiada pendapatan, mata pencariannya terputus, mujur ada anak-anak dan bantuan kerajaan dapatlah digunakan untuk belanja.

"Tiga bulan saya tidak berniaga, duit pun tak ada, saya cuma tahu buat roti dan jual di kedai sahaja, tetapi kedai juga tutup (sebab PKP).

"Selama tidak berniaga saya hanya duduk di rumah sahaja, buat roti tapi tak ada orang beli, saya tidak tahu jual secara atas talian, jadi saya tiada pendapatan selama tiga bulan ini," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri membenarkan semua pasar pagi, pasar malam, pasar terbuka dan bazaria di Negeri Sembilan beroperasi secara berperingkat bermula Isnin lalu.

Pembukaan secara berperingkat bagi pasar terbuka atau pasar pagi bermula jam 6 pagi sehingga 11 pagi, pasar malam jam 4 petang sehingga 10 malam dan bazaria bermula jam 5 petang sehingga 11 malam.

Semua tempat pengoperasian perlu mematuhi SOP ditetapkan antaranya memakai pelitup muka, penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1.5 meter, melakukan pemeriksaan suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman dan menyediakan aplikasi kod QR serta MySejahtera untuk rekod kehadiran.