Pekerja Malaysia kekal di Singapura juga wira Covid-19

Singapura kini mencatat 20 kematian akibat wabak Covid-19. - Foto AFP
Singapura kini mencatat 20 kematian akibat wabak Covid-19. - Foto AFP
A
A
A

[LAPORAN KHAS] JOHOR BAHRU - Pekerja Malaysia yang masih berada di Singapura sejak penularan wabak koronavirus (Covid- 19) pada Mac lepas wajar dianggap sebagai wira negara kerana tidak pulang demi memastikan penyebaran wabak tidak berlaku ketika negara sedang melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Md Akbal Abdullah berkata, Covid-19 menyaksikan kedua-dua negara menutup pintu sempadan darat bagi mengekang penyebaran wabak.

Tindakan itu menyebabkan rakyat Malaysia yang mencari rezeki di Singapura tidak dapat berulang-alik menyebabkan ada yang mengambil keputusan untuk tinggal di sana.

Keadaan ini menyebabkan mereka berjauhan dengan anak, isteri dan keluarga terutama yang tinggal di Johor.

“Penderitaan mereka ini lebih menyayat hati kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga demi mencari rezeki. Jika dibandingkan dengan pasangan yang tinggal berjauhan, contohnya di Johor dan Kelantan, mereka masih boleh berjumpa kerana kerajaan membenarkan mereka merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tetapi mereka yang berada di Singapura langsung tidak boleh rentas sempadan negara sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Lebih menyedihkan lagi mereka tidak tahu sampai bila sempadan darat Malaysia-Singapura akan dibuka,” katanya.

Jelasnya, beliau yakin kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Johor cukup prihatin dengan nasib pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Sudah pasti kedua-dua negara ini perlu duduk berbincang kerana pintu sempadan darat memainkan peranan cukup penting dalam sektor ekonomi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa yang sama dasar mengekang Covid-19 perlu dikekalkan bagi memastikan penularan wabak tidak berlaku ketika pekerja Malaysia ke Singapura atau sebaliknya,” kata beliau.