Bukan kerana ikan salmon

Seorang kakitangan melakukan semburan nyahjangkit di pintu masuk sebuah pasar raya di Beijing. - Foto AFP
Seorang kakitangan melakukan semburan nyahjangkit di pintu masuk sebuah pasar raya di Beijing. - Foto AFP
A
A
A

OSLO - Pihak berkuasa Norway dan China mencapai kesimpulan bahawa ikan salmon diimport dari Oslo kemungkinan bukan sumber koronavirus (Covid-19) yang ditemui pada papan pemotong di pasar borong Xinfadi hingga mencetuskan gelombang kedua wabak itu di Beijing sejak minggu lalu.

"Ia bukan berasal daripada ikan diimport dari negara Nordik. Keputusan itu diharap dapat memperjelaskan ketidakpastian dan menarik balik langkah menggantung eksport ikan salmon ke China," kata Menteri Perikanan Norway, Odd Emil Ingebrigtsen.

Pengumuman itu bagaimanapun semakin mencetuskan persoalan tentang sumber sebenar virus tersebut yang kini telah mencetuskan kluster Beijing sejak ia pertama kali direkodkan pada Khamis lalu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa turut membatalkan penerbangan domestik dari ke bandar itu bermula hari ini untuk membendung wabak tersebut yang dikhuatiri merebak ke wilayah lain.

Penjejak data penerbangan Variflight menunjukkan separuh daripada penerbangan masuk dan 40 peratus penerbangan keluar yang dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing telah dibatalkan.

Sebanyak 31 kes jangkitan baharu direkodkan sehingga semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kini mencecah 137 kes.

Pihak berkuasa turut menaikkan amaran kepada tahap dua yang merupakan paras kedua tertinggi di bawah sistem tindak balas kecemasan selepas ia diturunkan kepada tahap tiga kira-kira 10 hari lalu yang menyaksikan kesemua sekolah kini ditutup.

Selain itu, kira-kira 27 kawasan kejiranan telah diletakkan sebagai kawasan berisiko sederhana yang menghendaki mana-mana individu menjalani pemeriksaan suhu badan manakala satu kawasan kejiranan yang terletak paling hampir dengan pasar borong Xinfadi tersebut telah dinamakan sebagai kawasan berisiko tinggi.

Artikel Berkaitan:

Media tempatan memetik kenyataan pakar melaporkan penularan baharu itu didakwa berbeza dari Wuhan kerana melibatkan kes jangkitan tempatan dan sumbernya lebih jelas bagi membolehkan pihak berkuasa mengawal situasi tersebut.

Bagaimanapun, wilayah Hebei, Liaoning, Sichuan dan Zhejiang telah merekodkan kes jangkitan baharu yang dikaitkan dengan pasar borong Xinfadi. - Agensi