Kencing tikus: Empat masih dirawat di HSNZ

Empat individu sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana disyaki dijangkiti kencing tikus selepas melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut.
Empat individu sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana disyaki dijangkiti kencing tikus selepas melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai empat individu yang pernah melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut pada 1 hingga 4 Jun lalu sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas disyaki dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua mereka yang menerima rawatan selepas menunjukkan tanda-tanda seperti demam, sakit sendi, sakit otot, cirit-birit dan muntah itu bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurutnya, pihaknya ketika ini sedang menunggu pengesahan ujian makmal berhubung perkara tersebut.

“Hasil siasatan mendapati semua kes dipercayai mempunyai sejarah melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut pada 1 hingga 4 Jun lalu bersama sembilan individu yang lain.

“Pihak jabatan masih lagi menjalankan siasatan dan pengesanan kes bagi individu lain yang telah menyertai aktiviti rekreasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengesahkan kematian seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki akibat leptospirosis pada jam 1.20 pagi kelmarin ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di HSNZ.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki meninggal dunia manakala dua lagi rakannya dirawat di HSNZ selepas disyaki dijangkiti leptospirosis.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, mangsa dimasukkan ke HSNZ pada Ahad lalu dan disahkan meninggal dunia pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki meninggal dunia disyaki akibat kencing tikus

Leptospirosis adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh patogen leptospira yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia.

Bakteria leptospira boleh terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain.

Antara tanda dan gejala jangkitan termasuk demam menggigil, sakit kepala, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit- birit, batuk dan ruam di kulit.

Mengulas lanjut, Dr Nor Azimi turut menasihatkan orang ramai mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan penyakit leptospirosis antaranya mengelakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam atau sungai tidak diselenggara dengan sempurna.

“Elakkan juga daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau aliran air atau sungai yang perlahan,” katanya.