Tiada sambutan sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff. - Foto Bernama
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada sebarang acara dan sambutan akan diadakan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah Ke-78 yang ditetapkan pada 21 Jun tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, hal ini berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara dan bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa mulai 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Bagaimanapun katanya, majlis bacaan Yasin di masjid dan surau seluruh Kedah adalah dibenarkan tertakluk kepada had jemaah yang telah ditetapkan selaras dengan titah perkenan Sultan Kedah berkaitan pembukaan semula masjid dan surau dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Sehubungan itu, majlis bacaan Yasin boleh diadakan pada Khamis ini bersamaan 18 Jun 2020 selepas solat Maghrib sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku Sultan Kedah Ke-78.

"Selain itu, jemaah yang hadir ke majlis bacaan Yasin perlu mematuhi arahan PKPP dan tiada sebarang bentuk keraian serta jamuan dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya, jemaah juga digalakkan untuk mengadakan majlis bacaan Yasin di rumah masing-masing sekiranya tidak berkesempatan untuk hadir ke masjid atau surau.

Artikel Berkaitan: