Elaun diterima Mahdzir jauh lebih rendah, kata TNB

Penafian TNB berhubung dakwaan yang tular.
Penafian TNB berhubung dakwaan yang tular.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya Pengerusi syarikat itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerima elaun tinggi.

TNB berkata, elaun bulanan diterima Mahdzir sebenarnya jauh lebih rendah dari paparan yang dikongsi di media sosial.

Namun, katanya, ia (elaun diterima) mencerminkan tanggungjawab beliau memimpin sebuah syarikat dengan lebih 9 juta pelanggan dan aset bernilai hampir RM60 bilion.

"Sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, emolumen yang diterima Ahli Lembaga Pengarah TNB dinyatakan dalam Laporan Tahunan yang diterbitkan setiap tahun.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus berkongsi paparan tidak benar berkaitan elaun tinggi tersebut dan sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang perkongsian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, perbuatan menularkan paparan serta maklumat yang tidak benar atau palsu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Terdahulu, Mahdzir menerusi hantaran di Facebook hari ini turut menafikan dakwaan yang tular mengenai perkara itu, selain menyifatkannya sebagai dakwaan 'nakal' oleh pihak terbabit kerana jumlah elaun sebenar diterima jauh lebih rendah.

Sebelum itu, tular satu dakwaan mengatakan isu caj bil elektrik mengelirukan dan terlalu tinggi dikenakan TNB kepada pengguna sejak tiga bulan lalu disebabkan syarikat perlu membayar elaun tinggi kepada Mahdzir yang dikatakan mencecah hampir RM1 juta sebulan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Mahdzir nafi terima elaun tinggi sebagai Pengerusi TNB