Bekas pembantu penyelia curi wang syarikat dijel lima hari

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pembantu penyelia dijatuhi hukuman penjara lima hari dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mencuri wang RM1,295.20 milik sebuah syarikat pusat kecantikan kereta tahun lepas.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Naiem Hassan, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan tersebut dan memerintahkan hukuman itu bermula hari ini.

Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dua hari, sekiranya dia gagal membayar denda.

Mohd Naiem didakwa sebagai pembantu penyelia ketika itu telah mencuri wang berjumlah RM1,295.20 milik Syarikat Comprehensive Auto Restoration Services Sdn Bhd, Berjaya Time Square, di sini pada 11 Oktober 2019 mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hajar Hamzah memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun Mohd Naiem yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah menyesal dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

“Saya mempunyai dua anak dan seorang isteri serta seorang ibu yang berada di kampung. Pada masa ini saya tidak bekerja dan isteri saya yang bekerja namun saya berjanji akan bekerja selepas selesai kes ini kerana saya kesiankan isteri saya,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: