Jambatan Kampung Rantau Panjang ditutup

Isu hakisan tebing sungai di jambatan kampung itu mendapat perhatian.
Isu hakisan tebing sungai di jambatan kampung itu mendapat perhatian.
A
A
A

BESTARI JAYA - Notis penutupan keseluruhan jambatan di Kampung Rantau Panjang, di sini dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja baik pulih hakisan tebing sungai di jambatan terbabit.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, penutupan laluan ke jambatan itu untuk kesemua kenderaan berkuatkuasa 28 Januari ini.

"Penutupan laluan ini sehingga 23 April nanti bagi membolehkan kerja baik pulih tebing sungai dapat dijalankan dan membuat sambungan dari jambatan ke tebing.

"Kerja baik pulih dalam tempoh tiga bulan itu akan dilaksanakan JKR Daerah Kuala Selangor," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini status jambatan di kampung itu.

Menurutnya, kerja membuang tanah hakisan akan dibuat di kawasan terjejas bagi memudahkan proses penanaman cerucuk 'sheet pile' sebagai tembok penahan.

"Kerja menambak semula tanah juga akan dilaksanakan sebelum kerja konkrit 'slab' dan penurapan jalan baharu selain kemas kini perabot jalan.

"Sepanjang tempoh laluan ke jambatan ditutup, orang ramai dan penduduk setempat diminta menggunakan laluan alternatif untuk sementara waktu.

"Mereka boleh menggunakan laluan alternatif lain seperti yang disarankan JKR Daerah Kuala Selangor iaitu Jalan Timur Tambahan dan Jalan Raja Musa," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan: