Eric Paulsen bukan lagi ahli MPKM

Eric Paulsen
Eric Paulsen
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengesahkan peguam, Eric Paulsen kini bukan lagi ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

KKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perubahan dalam keahlian MPKM itu bagaimanapun tidak memberi sebarang impak kepada peranan badan itu.

"Keputusan tersebut tidak akan menjejaskan fungsi sebenar MPKM.

"MPKM akan terus berperanan membincang dan menasihati kementerian dalam pendekatan dan dasar bagi isu komunikasi dan multimedia selaras dengan matlamat KKMM," katanya.

Terdahulu, Paulsen yang merupakan wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) adalah antara 15 ahli MPKM yang dipengerusi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun pelantikan Paulsen mendapat kritikan hebat ramai pihak yang beranggapan ia tidak wajar serta perlu ditarik balik kerana beliau terkenal sebagai peguam yang sering mengeluarkan pelbagai kenyataan ekstrem dan berbaur penghinaan terhadap Islam dan umat Islam melalui saluran media sosial.

MPKM ditubuhkan pada 9 Jun 2020 dan dianggotai 15 ahli terdiri daripada pengurusan tertinggi KKMM, wakil masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar bidang tertentu, badan profesional serta badan perniagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelantikan Eric: Ulamak Pas tegur kerajaan PN perlu lebih peka

Artikel Berkaitan:

Pemimpin UMNO, Bersatu mohon penjelasan pelantikan Eric Paulsen

Pas bantah pelantikan Eric Paulsen