X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin UMNO, Bersatu mohon penjelasan pelantikan Eric Paulsen

Asyraf Wajdi Dusuki dan Razali Idris
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO memohon penjelasan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan asas dan rasional terhadap pelantikan Eric, seorang peguam yang terkenal dengan pelbagai kenyataan ekstrem dan berbaur penghinaan terhadap Islam dan umat Islam melalui saluran media sosial beliau.

Menurut Asyraf, Eric telah berkali-kali menggores hati umat Islam dengan tulisan beliau seperti menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstrimisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh hukum syariah dan menyalahkan madrasah sebagai lokasi pengembangan ekstrimis agama.

“Jika kepakaran dalam perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, Pemuda UMNO bertanggapan ramai lagi tokoh peguam atau aktivis hak asasi manusia yang sederhana (moderate) dan lebih memahami batasan kebebasan bersuara yang menyantuni acuan masyarakat timur bertunjangkan prinsip agama dan budaya boleh menjadi pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO berharap Saifuddin tidak mengulangi keterlanjuran beliau ketika dalam Pakatan Harapan (PH) yang kuat mempelopori dan mempromosi agenda meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum ( ICERD), Statut Rom dan pelbagai konvenyen Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang mampu menggugat kestabilan dan kerukunan negara pelbagai agama dan kaum.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau turut terkejut dengan pelantikan Eric sebagai salah seorang Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia.

Menurutnya, Eric adalah seorang peguam yang terkenal dengan sikap dan pandangan yang sangat sinis terhadap Islam dan perkara-perkara berkaitan hal ehwal Islam sebelum ini.

“Sikap dan tindakan beliau sangat jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Bagaimana mungkin seorang yang begitu jelas menentang semangat itu mampu memberikan input yang positif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pelantikan Eric dapat dipertimbangkan semula untuk ditarik balik dan digantikan individu yang lebih sesuai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!