Kelantan belum izin pasar malam dibuka: MB

Ahmad Yaakob
Ahmad Yaakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri masih belum memutuskan mengenai pembukaan semula pasar malam di Kelantan memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) masih diteliti oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, PBT akan melakukan perancangan terperinci bagaimana untuk mengaplikasikan SOP yang ditetapkan memandangkan ada beberapa kawasan yang tidak sesuai untuk dilaksanakan.

"Pasar malam tidak boleh mula lagi sebab kita menyerahkan (pelaksanaan) SOP kepada PBT untuk melihat lebih terperinci.

"Kita tengok dari segi SOP itu banyak kawasan-kawasan yang tidak layak. Terpaksalah PBT bincang semula sebelum membenarkan kawasan tersebut diadakan pasar malam,"katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai operasi premis perniagaan, Ahmad berkata, ia kini dilanjutkan selama setengah jam daripada waktu asal iaitu sehingga jam 10.30 malam.

"Kita tambah hingga 10.30 malam sebab kita dalam proses peralihan sehingga 30 Ogos ini. Selepas itu mungkin ada perubahan lagi. Untuk pasar malam pula kita tidak tahu lagi, tunggu keputusan PBT," katanya.

Sementara itu, mengenai keputusan rasmi jumlah jemaah yang boleh menyertai solat Jumaat, Ahmad berkata, ia akan diputuskan oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam waktu terdekat.

Artikel Berkaitan: