Sampah haram: MBI wajar heret pelaku ke mahkamah

Ahmad Hariri (kanan) menunjukkan sampel air mengandungi jentik-jentik yang ditemui ketika program gotong-royong berkenaan sambil diperhatikan Giritharan (tengah) dan Indiran.
Ahmad Hariri (kanan) menunjukkan sampel air mengandungi jentik-jentik yang ditemui ketika program gotong-royong berkenaan sambil diperhatikan Giritharan (tengah) dan Indiran.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilihat wajar mempertimbangkan tindakan mahkamah ke atas mana-mana organisasi atau individu yang membuang sampah haram di dalam kawasan bandar raya ini.

Ahli Majlisnya, Datuk Ahmad Hariri Kamarudin berkata, melihat kepada jumlah aduan sampah haram setiap hari yang semakin bertambah, tindakan lebih tegas perlu diambil selain tawaran kompaun RM1,000.

Beliau berkata, kewujudan sampah haram itu mendatangkan pelbagai masalah kepada warga bandar raya ini terutamanya peningkatan kes demam denggi yang menjadikan daerah Kinta sebagai kawasan wabak tertinggi di Perak.

"Seperti mana yang Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin pernah suarakan sebelum ini, saya mengalu-alukan pihak MBI menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada mengheret mereka yang masih berdegil ini ke mahkamah.

"Bukan itu sahaja, pemilik tanah terbiar juga wajar dikenakan tindakan tegas kerana membahayakan persekitaran dan kawasan kejiranan selain mencacatkan pemandangan," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui pada program gotong-royong di sekitar Kampung Seri Kinta, Kampung Cempaka Sari dan Taman Temara di sini semalam.

Menurutnya, kes denggi di kawasan tersebut mencatatkan pertambahan bermula di Kampung Cempaka Sari iaitu dengan 10 kes kemudian merebak ke bersebelahan iaitu Kampung Seri Kinta dan Taman Temara masing-masing dengam tujuh dan dua kes.

Dalam pada itu, Ahmad Hariri juga mengharapkan penduduk lebih prihatin keadaan sekeliling dengan membersihkan kawasan kediaman daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Jelasnya, penduduk tidak boleh mengharapkan agensi untuk membantu membersihkan kawasan kediaman masing-masing kerana bukan tanggungjawab mereka.

Artikel Berkaitan:

"Pejabat Kesihatan dan MBI tidak akan berkompromi jika ada jentik-jentik ditemui di kawasan rumah penduduk. Kompaun RM500 dikenakan terus jika ada jentik-jentik yang ditemui.

"Sepatutnya penduduk ada inisiatif sendiri untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing dan jangan pentingkan diri kerana mungkin keluarga kita tak kena demam denggi tetapi jiran kena disebabkan kawasan kita yang tidak bersih," katanya.

Ahmad Hariri berkata, pihaknya akan mempertimbangkan program gotong-royong berskala besar melibatkan pelbagai agensi jika keadaan kes demam denggi masih tidak terkawal.

Gotong-royong tersebut membabitkan beberapa agensi iaitu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) Kampung Seri Kinta dan penduduk kampung.

Antara yang turut hadir pada program tersebut, Pegawai Pendidikan Kesihatan PKD Kinta, K Giritharan dan Pembantu Kesihatan Awam PKD Kinta, C Indiran.

Sebelum ini, Rumaizi dalam satu kenyataan menjelaskan MBI tidak akan teragak-agak untuk mengheret mana-mana individu yang masih berdegil membuang sampah secara haram di bandar raya ini ke mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sampah haram: MBI pertimbang tindakan mahkamah