Kes pemandu mabuk: Jangan terburu-buru pinda hukuman mati

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan belum mencadangkan pindaan akta ke atas undang-undang sedia ada membabitkan pemandu mabuk termasuk hukuman jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebaliknya menegaskan masyarakat tidak harus terburu-buru mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Menurutnya, walaupun masyarakat mendesak pemandu mabuk dikenakan hukuman itu, kementerian berpendapat kes melibatkan pemandu mabuk perlu mengikut lunas undang-undang.

“Jika Seksyen 302 (Kanun Keseksaan) digunakan, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk itu ada niat untuk membunuh.

“Kita tidak mahu mereka terlepas kerana niat itu tidak dapat dibuktikan. Jadi kita perlu mengikut lunas undang-undang. Betul kita geram tetapi tidak boleh ambil tindakan melulu,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Sesi wawancara khas itu sempena 100 hari perkhidmatannya sebagai Menteri Pengangkutan di pejabat kementeriannya baru-baru ini.

Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan telah mengemas kini kesemua seksyen berkaitan serta menyenaraikan apa yang perlu dipinda bagi rang undang-undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Artikel Berkaitan:

Dr Wee Ka Siong
Dr Wee Ka Siong

Menurutnya, pindaan akta bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara melulu adalah satu usaha merentasi kepentingan kaum, agama dan politik yang pasti disokong semua pihak.

“Draf pindaan akta itu juga telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan ke mesyuarat Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi dan Dewan Rakyat pada sesi Julai ini.

“Saya juga ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap pindaan akta berkenaan serta mahu hukuman ditingkatkan,” katanya.

Beratkan hukuman

Ka Siong mendedahkan hasil kajian terhadap lebih 345,000 responden mendapati sejumlah 94 peratus daripada mereka menyatakan sokongan agar hukuman sedia ada diberatkan iaitu berkaitan denda, penjara dan hilang kelayakan lesen memandu.

Peruntukan undang-undang terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk ketika ini adalah mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa kepada denda maksimum RM10,000 dan penjara 12 bulan.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula merekodkan sepanjang tempoh tahun 2014 hingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca daripada kemalangan melibatkan pemandu mabuk.

Sementara itu, pada 3 Mei lalu, seorang anggota polis bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat Kajang maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk.

Pada 23 Mei pula, seorang lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda didakwa merempuh gerai serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa, Petaling Jaya dan siasatan awal mendapati suspek dalam keadaan mabuk semasa kejadian itu.